Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Berani yang tidak disukai
  • RENCANA

Berani yang tidak disukai

Utusan Sarawak 7 hours ago
SARA KEHIDUPAN… Nelayan tempatan dilihat giat mencari hasil laut demi menyara kehidupan keluarga mereka serta memastikan bekalan makanan laut negara kekal terjamin ketika tinjauan di Pantai Pandak, Chendering baru-baru ini. Foto BERNAMA

SETIAP kita mempunyai keberanian masing-masing. Ada pada tahap yang tinggi dan ada yang sederhana. Satu keunikan pada zaman maklumat yang bergerak dengan begitu pantas ialah di mana manusia berani menyatakan sesuatu kadangkala melangkaui apa yang sepatutnya.

Dalam dunia siber, manusia tidak takut dan ramai yang berani bersuara dalam apa isu sekalipun. Kadang kita tidak terfikir orang yang pendiam dan jenis yang tidak berkawan bukan main hebat bersuara dalam media sosial.

Sehingga boleh kita katakan beliau dalam kategori ‘berani yang tidak disukai.’ Situasi ini merujuk kepada keberanian yang membawa ketidakselesaan atau penolakan dari orang lain.

Ia bukan kerana keberanian itu salah tetapi kerana ia mencabar kebiasaan, menegur kesilapan atau mengangkat kebenaran yang pahit.

Melihat perkembangan seperti ini yang semakin menjadi, penulis berpendapat kita sebagai hamba Allah SWT perlu ada pendekatan kawalan pada diri supaya sentiasa tidak melepasi batas tatasusila insan yang waras.

Antara perspektif yang perlu kita ambil kira dan diberi penekanan dalam pendekatan kita perihal menyuarakan sesuatu dapat kita usahakan seperti berikut:

Berani Menegak Kebenaran Walaupun Banyak Penentangan

Dalam sejarah perjuangan manusia, kebenaran tidak pernah lahir dalam suasana yang selesa. Ia sentiasa muncul bersama cabaran, cemuhan dan penentangan.

Menegak kebenaran adalah satu bentuk keberanian yang sangat tinggi nilainya kerana ia menuntut pengorbanan, kejujuran dan keikhlasan hati.

Dalam maksud lain, seseorang itu tidak mengharapkan pujian, asalkan sudah dapat menyuarakan pendapat atau pandangannya.

Menegakkan kebenaran bukan bermakna kita sombong atau memaksa. Ia harus disertai dengan hikmah, adab dan kasih sayang.

Tetapi jika suara kita tetap ditolak, jangan mundur. Ingatlah, kebenaran tidak memerlukan bilangan, hanya keberanian dan kesetiaan.

Seseorang yang berani menyuarakan kebenaran akan sering berdepan dengan tentangan dari mereka yang merasa tergugat, sama ada kerana kepentingan diri, kuasa atau kejahilan.

Namun, orang yang benar tidak bergerak kerana sokongan, tetapi kerana prinsip dan keyakinan bahawa Allah SWT bersama orang yang benar. Dalam pada itu, mereka akan menegur tentang etika dengan penuh ketegasan.

Menegur Tentang Etika Bila Ramai Tidak Menyukainya

Dalam mana-mana organisasi, masyarakat atau kumpulan, etika adalah asas kepada keharmonian dan integriti. Namun, menegur pelanggaran etika sering kali bukan tugas yang disukai, apatah lagi bila teguran itu mengundang reaksi negatif seperti masam muka, jawapan sinis atau penolakan secara senyap.

Ramai yang memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu hubungan terganggu. Namun, diam terhadap kesalahan bukanlah kasih sayang dan mengelak menegur demi keselesaan bukan tanda hikmah tetapi kelemahan prinsip hidup.

Menegur bukan kerana membenci tetapi kerana kita peduli. Ketegasan dalam menegur bukan tanda ego tetapi mencerminkan tanggungjawab. Menegur cara betul adalah adab, niat ikhlas dan fakta yang jelas.

Ini adalah satu bentuk amar makruf yang sangat diperlukan, terutamanya bila orang ramai lebih suka berdiam diri daripada membuat pembetulan.

Kita harus sedar bahawa kebenaran itu memang pahit. Namun, jika tiada siapa yang berani menegur, maka nilai hidup yang berpegang kepada kebenaran akan pudar sedikit demi sedikit. Ketakutan itu akan membuat orang menjauhi diri untuk menceritakan realiti sebenar.

Bercerita Mengenai Realiti Walaupun Berdepan Cabaran

Kadang kala dalam perjuangan menyampaikan kebenaran sesuatu fakta atau realiti, kita akan berdepan dengan satu cabaran yang boleh kita ungkapkan : “Kita bercakap, tetapi mereka tidak mendengar; kita mengingatkan, tetapi mereka tidak peduli.”

Namun, itulah sifat perjuangan. Kita bukan menyampaikan untuk disukai tetapi kerana ia satu amanah. Jika sesuatu itu benar, maka menyampaikannya tetap satu kewajipan biarpun ia disambut dengan acuh tak acuh, sindiran atau diam seribu bahasa.

Menceritakan realiti yang pahit memerlukan keberanian walaupun tidak mendapat sambutan. Kita perlu tabah dan mungkin tidak dapat melihat hasilnya sekarang.

Namun, benih yang ditanam dengan jujur akan tumbuh suatu hari nanti.  Sampaikanlah kerana Allah SWT, bukan kerana reaksi manusia.

Teruslah bersuara kerana diam yang terlalu lama boleh jadi tandanya kita sudah kalah pada tekanan. Biarlah kita menyampaikan walaupun ia nampak aib seseorang tetapi atas dasar jujur dan berprinsip untuk kebaikan semua.

Memberitahu Tentang Keaiban Dengan Kebijaksanaan Untuk Kebaikan Ummah

Dalam dunia hari ini, terlalu mudah bagi seseorang untuk menceritakan kelemahan, kesalahan atau keaiban orang lain sama ada melalui perbualan, media sosial atau sindiran terbuka.

Namun, sebagai seorang Muslim atau manusia berakhlak, kita harus faham bahawa keaiban bukan untuk diumumkan, tetapi untuk ditutup dan jika perlu demi untuk menjaga kepentingan ummah maka kebijaksanaan perlu dilakukan untuk tidak memudaratkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Mendedahkan aib orang lain tanpa sebab yang syarie atau tanpa niat untuk memperbaiki adalah satu bentuk pengkhianatan dan pengumpatan. 

Ada beza antara menegur kesalahan dan membuka aib. Teguran hendaklah dilakukan dengan niat membetulkan dan melindungi, manakala membuka aib dilakukan dengan niat menjatuhkan atau memburukkan.

Seseorang yang benar-benar ikhlas mahu melihat perubahan akan memilih saluran yang tertutup, beradab dan berhikmah walaupun perkara-perkara itu negatif yang mungkin sensitif.

Menyatakan Perkara Negatif Yang Mungkin Sensitif

Tidak semua yang benar itu mudah diterima dan tidak semua yang perlu ditegur boleh diungkap dengan terus terang. Menyatakan perkara negatif, terutama yang menyentuh kelemahan, kekurangan atau kesilapan seseorang atau organisasi, memerlukan keberanian. Apa yang penting hendaklah dilakukan dengan berhikmah dan kebijaksanaan menyampaikannya.

Ada waktunya kita perlu menyampaikan sesuatu yang sukar didengar kerana diam hanya akan memburukkan lagi keadaan. Namun, jika kita tidak berhati-hati, kebenaran yang disampaikan tanpa hikmah boleh menjadi luka yang sukar sembuh.

Islam mengajar kita untuk berkata benar walaupun pahit, tetapi dalam masa yang sama, menjaga adab dan tujuan teguran itu. Bukan untuk mengaibkan, bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk membetulkan keadaan dan menjaga maslahat umum.

Sensitif bukan bererti tidak boleh disentuh. Ia cuma menuntut pendekatan yang lebih berhati-hati dan beradab. Dalam masyarakat yang matang, menyatakan kelemahan bukan dilihat sebagai serangan, tetapi sebagai peluang untuk muhasabah dan penambahbaikan. Justeru, tegurlah dengan mengajak berlandaskan keimanan.

Mengajak Tentang Keimanan Bukanlah Tugas Mudah

Mengajak manusia kepada keimanan, kepada kebaikan dan pada jalan Allah, bukanlah tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila yang diajak bersikap acuh tak acuh, menolak secara halus, bahkan memandang sinis tentang usaha itu.

Namun, itulah realiti kita berdakwah atau menyampaikan suatu kebaikan berlandaskan keimanan. Ia bukan jalan penuh pujian, tetapi jalan yang sarat dengan kesabaran.

Para Nabi dan Rasul pun tidak pernah dijanjikan penerimaan yang mudah. Nabi Nuh A.S hanya mendapat sedikit pengikut selepas ratusan tahun berdakwah. Nabi Muhammad SAW sendiri dihina, ditentang, malah dilukai, namun tetap teguh menyampaikan risalah.

Keimanan tidak boleh dipaksa, tetapi ia mesti terus diseru. Walau ramai yang berpaling, kita tidak boleh berhenti menyeru. Bukan kerana kita yakin mereka akan berubah segera, tetapi kerana kita yakin Allah SWT menilai usaha, bukan hasil.

Mengajak kepada iman ketika manusia leka ialah tanda cinta yang sebenar. Kita tidak mahu mereka hanyut dalam kehidupan dunia tanpa arah.

Kita mahu mereka mengenal makna sebenar hidup bahawa ada Tuhan yang Maha Melihat, ada kehidupan selepas mati dan ada pertimbangan bagi setiap amal.

Jika kita berhenti mengajak kerana kecewa, siapa lagi yang akan menyampaikan? Jika kita diam kerana lelah, siapa akan memikul risalah? 

Teruskan mengajak, walaupun ditolak. Teruskan menasihati, walaupun tidak didengari. Inilah tugas kita menyampaikan dengan berani walaupun ia tidak disukai.

Wallahu Alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Pesara tentera gigih hasilkan produk soya halal
Next: ‘Kebaya Setengah Tiang’ berusia 120 tahun dipamer di forum antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.