MENCARI rezeki sambil beramal, itulah yang sering dilakukan oleh pasangan suami isteri Hamzah Ismail, 61 dan Rosanah Mahem, 61, ketika mengusahakan perniagaan sayur-sayuran hidroponik di Daro.
Menurut Rosanah, antara sayur-sayuran hidroponik yang ditanam ialah tauge, salad, kangkung, sawi, daun sup dan bayam.
“Sayuran yang kami tanam semua dijual dengan harga murah. Contohnya, salad satu ikat dijual RM1 manakala tauge satu kilo berharga RM3. Jika ada lebihan, kami sedekah kepada pelanggan. Tolong sambil beramal.
“Malah, sayur-sayuran kami sering menjadi pilihan kerana rasanya yang sedap dan unik, berbeza dengan sayur-sayuran biasa yang ditanam menggunakan tanah.
“Pelanggan kami memberi maklum balas bahawa kangkung yang kami jual rasanya lebih rangup dan segar,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Bercerita mengenai perjalanan perniagaannya, Hamzah berkata, idea untuk mengusahakan sayur-sayuran hidroponik mula tercetus selepas beliau dinasihati doktor untuk kekal aktif setelah menjalankan pembedahan kanser kalenjar air liur.
“Saya ketika itu baru berhenti daripada perkhidmatan tentera dan sedang menjalankan rawatan kemoterapi kanser kalenjar air liur.
“Banyak masa yang terluang dan juga didorong oleh minat menyebabkan saya mula bercucuk tanam menggunakan tanah, tetapi pada masa itu tanaman kurang menjadi.
“Kemudian, saya mula belajar penanaman kaedah hidroponik daripada Youtube dan praktikkan iaitu kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja untuk nutrien tanpa mengunakan tanah.
“Ketika itu, modal permulaan ialah RM45 untuk membina 70 paip PVC bagi menempatkan anak-anak pokok, tetapi sekarang sudah ada sekitar 100 lebih batang PVC di kebun depan rumah,” katanya.
Justeru kini, pasangan suami ini sudah mampu berbangga kerana berjaya tanaman hidroponik mampu memberi pulangan lumayan.
“Alhamdulillah, pelanggan sendiri datang ke rumah dan ada juga pemilik pasar raya menjadikan kami sebagai pembekal,” katanya lagi.
Oleh SYAHIDA HASSAN