SIBU: Usaha membanteras jenayah perlu dimulakan dari peringkat awal untuk memenuhi harapan masyarakat yang menginginkan kehidupan aman dan sejahtera.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus berkata pembangunan pesat di negara ini turut menyumbang kepada peningkatan perlakuan jenayah yang membimbangkan masyarakat.
“Dalam era digital ini, jenayah siber semakin menjadi isu serius. Walaupun pelbagai usaha kesedaran telah dilakukan, kejadian jenayah terutamanya jenayah siber terus meningkat.
“Kerugian berjuta-juta ringgit dicatatkan setiap bulan, malah beratus ribu ringgit hilang setiap hari. Mengapa perkara ini masih berterusan?
“Bagi saya, ini berlaku kerana maklumat kesedaran tidak disampaikan sepenuhnya hingga ke peringkat akar umbi di bawah kepimpinan kita sendiri. Sangat menyedihkan jika jenayah siber ini terus berleluasa tanpa henti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program ‘Town Hall Discussion 2024: “Bicara Jenayah: Kesiapsiagaan Mendepani Isu Jenayah” di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini hari ini.
Menyedari situasi ini, beliau memaklumkan bahawa pihak polis telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan beberapa pendekatan bagi menangani jenayah.
“Sebagai salah satu pendekatan, hari ini kita telah mengadakan program townhall iaitu pertemuan bersemuka dan komunikasi dua hala antara polis dan komuniti.
“Platform ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat, idea, serta mendapatkan pandangan dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.
Selain itu, Ibrahim turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara masyarakat dan agensi penguatkuasa dalam menangani isu jenayah.
Menurutnya, masyarakat sering menyalahkan agensi penguatkuasa sebagai pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap peningkatan jenayah, sedangkan usaha pencegahan jenayah memerlukan penglibatan semua pihak.
“Mencegah jenayah bukan tugas penguatkuasa semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama. Tanpa maklumat daripada masyarakat dan ketua-ketua komuniti, usaha penguatkuasaan akan terbatas,” tambahnya.
Beliau juga menyeru agar semua lapisan masyarakat berganding bahu dengan pihak polis dan agensi penguatkuasa lain untuk merealisasikan hasrat mencapai tahap zero jenayah di negara ini.
“PDRM sebagai agensi penguatkuasa utama negara memikul tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, isteri kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang juga Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak, Datin Zanilatun Kamariah Zakaria; Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dan Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Oleh TARANI LANTING