Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Benteng Sungai Simunjan akan dibina semula guna teknologi BIM
  • TEKNOLOGI

Benteng Sungai Simunjan akan dibina semula guna teknologi BIM

Utusan Sarawak 5 days ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Perasmian Penangguhan Pesta Simunjan di Tapak Regatta Simunjan hari ini. Foto Shahrul Qaizat dan Masrin Affirah

SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak akan membina semula benteng tebing Sungai Simunjan menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi mengekang masalah hakisan serius yang semakin menjejaskan kawasan itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata projek berkenaan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri selepas benteng sedia ada gagal menahan tekanan arus sungai disebabkan kelemahan reka bentuk serta struktur asas.

“Simunjan kini mengalami hakisan tebing sungai. Dahulu kita ada membina benteng tetapi nampaknya tidak dapat melawan arus sungai.

“Kajian mendapati kelemahan berlaku kerana cerucuk tidak dimasukkan cukup dalam, sebab itu kita akan bina benteng baharu menggunakan dana Sarawak sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Penangguhan Pesta Simunjan di Tapak Regatta Simunjan, hari ini.

TEBING Sungai Simunjan. Foto Shahrul Qaizat dan Masrin Affirah

Beliau berkata, teknologi BIM akan digunakan sepenuhnya dalam reka bentuk benteng baharu bagi memastikan struktur itu kukuh dan tahan terhadap tekanan arus sungai.

“Melalui BIM, kita dapat mensimulasikan tekanan air dan kesan terhadap struktur sebelum pembinaan dimulakan. Jadi, reka bentuk ini bukan sekadar andaian tetapi berpaksikan data sebenar,” jelasnya.

Menurutnya, benteng berkenaan bukan sekadar berfungsi mengekang hakisan, tetapi turut memberi nilai estetika dan membuka ruang pembangunan baharu di kawasan sekitarnya.

“Benteng ini ada dua fungsi, menahan hakisan dan mencantikkan kawasan Simunjan. Ruang tambahan yang terhasil boleh dibangunkan dengan kemudahan seperti jalan raya dan kawasan awam,” katanya.

Premier Sarawak turut memaklumkan satu lagi benteng akan dibina di Kampung Sageng dengan reka bentuk hampir siap dan pelaksanaan dijangka dimulakan selepas proses teknikal diselesaikan.

Beliau menjelaskan, rancangan asal bagi pembinaan benteng dan Projek Tebingan Sungai Simunjan telah bermula sejak 2021, namun tertangguh akibat kekurangan peruntukan.

“Dahulu bajetnya RM40 juta, sedangkan kos sebenar lebih RM100 juta. Jadi projek itu tidak dapat diteruskan. Kerajaan negeri kini mengambil alih kerana tidak mahu rakyat Simunjan terus menunggu terlalu lama,” katanya.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui selepas merasmikan Penangguhan Pesta Simunjan di Tapak Regatta Simunjan, hari ini. Foto Shahrul Qaizat dan Masrin Affirah

Selain itu, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan sekolah rendah baharu bernilai RM26 juta di Kampung Sageng bagi menggantikan sekolah lama yang daif dan tidak lagi selamat digunakan.

“Sekolah itu tiada kemudahan, kantin pun sudah rosak. Jadi saya guna dana Sarawak walaupun ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, sebab kita tidak boleh biarkan pelajar belajar dalam keadaan begitu,” tegasnya.

Premier Sarawak memberi jaminan reka bentuk projek tersebut telah diluluskan dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan sebaik sahaja proses reka bentuk selesai.

“Sudah diberi dan sedang dibuat reka bentuk. Janji mesti ditepati,” katanya ringkas.

Oleh Shahrul Qaizat dan Masrin Affirah

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Narwal lancar vakum robot pintar terbaharu di Malaysia
Next: Kerjasama Sarawak-Belanda fokus pembangunan pelabuhan, pertukaran teknologi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.