Benjolan tidak menyakitkan mungkin petanda awal, apa lelaki muda perlu cakna akan kanser testis

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
Foto Pusat Perubatan Sunway

KUALA LUMPUR: Kanser testis merupakan kanser pepejal yang paling lazim menjejaskan lelaki muda, namun tahap kesedaran mengenai penyakit itu masih berada pada tahap agak rendah.

Penyakit itu menjejaskan kira-kira seorang daripada setiap 250 lelaki di seluruh dunia, dengan purata umur diagnosis hanya 33 tahun, namun pada masa ini ia juga merupakan antara kanser yang paling tinggi kadar pembuhannya.

Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Murali Sundram Mikaail Abdullah berkata kemajuan dalam rawatan perubatan, kanser testis kini mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 95 peratus, khususnya apabila diagnosis dan berjaya dirawat awal.

Beliau berkata kanser testis, lazimnya menunjukkan tanda amaran awal yang sukar dikesan dan mudah diabaikan, kerana keadaan itu kebiasaannya tidak menyebabkan kesakitan.

“Banyak lelaki mengabaikan perubahan ini atau menangguhkan mendapatkan nasihat perubatan. Sebarang benjolan yang tidak menyakitkan pada testis perlu diperiksa dengan segera dan pesakit hendaklah dirujuk kepada pakar urologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAKAR Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Murali Sundram Mikaail Abdullah.

Dr Murali berkata tanda paling awal kanser testis ialah pembengkakan tanpa rasa sakit pada satu daripada testis, yang mungkin disedari sendiri oleh pesakit atau kadangkala dalam sesetengah kes, oleh pasangan seksual mereka.

Bagi menyokong pengesanan awal, beliau menasihatkan golongan lelaki, khususnya yang masih muda, supaya melakukan pemeriksaan sendiri testis secara berkala dan sebaik sahaja benjolan dikesan, proses diagnosis biasanya mudah.

“Pemeriksaan ultrabunyi mempunyai kadar ketepatan sekitar 90 peratus, dalam diagnosis kanser testis. Jika keputusan menunjukkan kanser, ujian lanjut seperti ujian darah untuk memeriksa penanda tumor dan imbasan CT pada bahagian abdomen serta paru-paru akan dilakukan bagi menentukan tahap kanser, termasuk sama ada ia telah merebak lebih dari testis,” kata Dr Murali.

Beliau berkata jika dikesan pada peringkat awal, kanser testis lazimnya hanya tertumpu pada testis, yang dikenali sebagai kanser Tahap I, manakala tahap yang lebih lanjut menunjukkan kanser telah merebak ke nodus limfa berdekatan atau organ seperti paru-paru atau tulang.

Dr Murali berkata kanser testis Tahap I dirawat melalui prosedur ordektomi, iaitu pembedahan kecil untuk membuang testis yang terjejas, yang kebiasaannya hanya memerlukan kemasukan wad satu hari sahaja di hospital.

Beliau berkata hasil rawatan pada peringkat itu amat baik, dengan 70 hingga 85 peratus pesakit sembuh sepenuhnya melalui pembedahan sahaja, manakala dalam sesetengah kes, satu kitaran kemoterapi mungkin disyorkan sebagai langkah berjaga-jaga tambahan.

“Prosedur orkidektomi lazimnya tidak menjejaskan fungsi seksual atau kesuburan, sekiranya testis yang satu lagi berfungsi secara normal,” katanya sambil menambah bahawa pesakit akan dipantau secara rapi sekurang-kurangnya selama lima tahun, menerusi pemeriksaan berkala selepas menjalani rawatan.


Foto Pusat Perubatan Sunway

Bagi pesakit yang menghidap kanser testis Tahap II atau Tahap III, beliau berkata kemoterapi kekal sebagai rawatan utama dan terbukti sangat berkesan untuk merawat penyakit itu.

Namun, Dr Murali berkata walaupun kanser testis didiagnosis pada peringkat yang lebih lanjut, peluang untuk sembuh masih memberangsangkan, dengan kira-kira 70 peratus pesakit boleh pulih sepenuhnya melalui kemoterapi walaupun pada tahap lanjut.

Beliau berkata bagi sesetengah pesakit, kemoterapi mungkin meninggalkan nodus limfa yang masih membesar. Dalam keadaan sedemikian, prosedur khusus yang dikenali sebagai diseksi nodus limfa retroperitoneal (RPLND) mungkin disyorkan bagi membuang baki tisu kanser yang masih ada.

“Secara tradisinya, prosedur RPLND dilakukan melalui pembedahan terbuka, yang lazimnya melibatkan hirisan lebih besar serta tempoh pemulihan yang lebih lama. Kini, pembedahan dengan bantuan robot turut ditawarkan di pusat perubatan tertentu untuk pesakit yang sesuai.

“Oleh sebab insisi yang lebih kecil, tempoh pemulihan juga jauh lebih singkat,” kata Dr Murali sambil menambah bahawa ramai pesakit dapat kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa dalam tempoh beberapa minggu.

Bagaimanapun, beliau berkata pemilihan pesakit yang teliti serta kepakaran pakar bedah kekal penting, dan pembedahan terbuka masih dianggap sebagai piawaian emas bagi kes yang lebih kompleks.

“Bagi lelaki muda di Malaysia, kesedaran menjadi benteng pertahanan pertama. Meluangkan sedikit masa untuk melakukan pemeriksaan sendiri yang mudah serta mendapatkan nasihat perubatan apabila menyedari sesuatu yang luar biasa, boleh menjadi penentu antara rawatan awal dan diagnosis pada tahap yang lebih serius,” katanya.- Bernama

Program Saringan Kesihatan Komuniti perkasa amalan hidup sihat

MESYUARAT… Antara ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat penyelarasan Program Saringan Kesihatan Komuniti 2026 sebagai persediaan menjelang penganjurannya pada 18 Julai ini di Dewan Masyarakat Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong.