
KUCHING: Bengkel Penyediaan Senarai Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Bahagian Betong bagi Tahun 2026 telah melabuhkan tirainya semalam dengan agenda utama pembentangan cadangan projek oleh setiap kumpulan yang mewakili kawasan serta agensi berkaitan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menegaskan bahawa setiap projek RTP yang dilaksanakan harus memberikan manfaat nyata kepada penduduk luar bandar, terutamanya dalam aspek prasarana asas, aksesibiliti, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru agar aspek pemantauan berterusan, peningkatan kecekapan pelaksanaan, serta ketelusan dalam penggunaan peruntukan diberi keutamaan.
“Ini penting bagi memastikan kejayaan agenda transformasi luar bandar di Bahagian Betong,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa bengkel dan mesyuarat seumpama ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara terancang dan menyeluruh, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, berkata sesi pembentangan pada sebelah pagi merupakan komponen penting dalam proses perancangan pembangunan luar bandar.
“Ini bagi memastikan projek yang dicadangkan bersifat berimpak tinggi, relevan dengan keperluan setempat serta selaras dengan dasar pembangunan kerajaan negeri dan persekutuan.
“Antara elemen yang diteliti dalam pembentangan termasuk tajuk projek, skop pelaksanaan, lokasi, agensi pelaksana, anggaran kos, tempoh pelaksanaan, serta justifikasi keperluan projek,” katanya.
Menurutnya lagi, bengkel ini menjadi platform kolaboratif antara agensi kerajaan dan wakil rakyat dalam menyelaras serta menyusun keutamaan projek berdasarkan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Pada sebelah petang, Mesyuarat Pemantauan dan Pelaksanaan Projek RTP Khas Bahagian Betong Bil. 1/2025 turut diadakan bagi membincangkan status pelaksanaan projek RTP yang telah diluluskan, termasuk mengenal pasti cabaran serta langkah penambahbaikan yang boleh diambil.
Oleh Adi Safarman