Bengkel SADA rangka hala tuju baharu pembangunan pertanian Sri Aman

Facebook
WhatsApp
BENGKEL Pembangunan Pertanian SADA menjadi platform strategik dalam memperkukuh perancangan dan pelaksanaan program pembangunan pertanian di Bahagian Sri Aman. Foto ADUN Bukit Begunan

KUCHING: Sektor pertanian terus diberi penekanan sebagai pemacu utama pembangunan sosioekonomi di Bahagian Sri Aman menerusi penganjuran Bengkel Pembangunan Pertanian Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) yang menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan bagi merangka hala tuju pembangunan sektor itu.

Bengkel yang diadakan di salah sebuah hotel di sini semalam merupakan hasil kerjasama erat antara SADA dan Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman dalam memperkukuh perancangan serta pelaksanaan program pembangunan pertanian di bahagian berkenaan.

PENGANJURAN Bengkel Pembangunan Pertanian Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) di salah sebuah hotel di Kuching semalam. Foto: ADUN Bukit Begunan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, sektor pertanian merupakan nadi utama dan tulang belakang kepada sosioekonomi Bahagian Sri Aman yang perlu terus diperkasakan secara menyeluruh.

Menurut beliau, pembangunan sektor pertanian bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran makanan, malah berpotensi menjana pendapatan mampan kepada rakyat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.

“Menerusi penubuhan SADA oleh kerajaan Sarawak, ia menjadi satu langkah strategik bagi merancang, memudah cara dan memacu pembangunan sosioekonomi di Bahagian Sri Aman secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembangunan Pertanian Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) yang berlangsung di sini, semalam.

Mong turut menegaskan kerjasama rapat antara SADA dan Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang mampu memperkukuh industri pertanian di kawasan berkenaan.

Sementara itu, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, bengkel berkenaan merupakan platform penting dalam merangka strategi serta inisiatif bagi membuka potensi sektor pertanian.

Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan DUN Lingga, malah melibatkan seluruh kawasan berpotensi di Bahagian Sri Aman bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Saya yakin, melalui perancangan yang tersusun dan kerjasama semua pihak, kita mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat serta menjadikan pertanian sebagai pemacu pembangunan wilayah,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan semua agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Penganjuran bengkel tersebut katanya memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasakan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi wilayah, sejajar dengan agenda pembangunan mampan serta usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Bahagian Sri Aman.

Oleh Adi Safarman