
BINTULU: Bengkel kesedaran kesihatan mental anjuran RAKAN Sarawak Destiny Mover (RSDM) akan diadakan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu pada 18 April ini bagi memperkukuh kesejahteraan mental komuniti setempat.
Program bertemakan ‘Unmask the Mind to Thrive and Flourish’ itu dianjurkan susulan peningkatan kesedaran serta cabaran berkaitan kesihatan mental di Malaysia, termasuk lonjakan panggilan ke talian bantuan Talian HEAL 15555 yang mencecah hampir 91,000 pada 2025, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Bengkel tersebut bukan sekadar platform pembelajaran, sebaliknya menjadi ruang sokongan kolektif yang menghimpunkan komuniti dalam usaha mengurangkan stigma serta membina daya tahan mental.
Menurut kenyataan, program itu menghubungkan pengalaman individu dengan sokongan bersama sekali gus membentuk jaringan komuniti yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Kajian Ipsos 2025 menunjukkan 37 peratus rakyat Malaysia menganggap kesihatan mental sebagai isu paling mendesak, manakala Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan kira-kira 4.6 peratus atau satu juta rakyat berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.
Di Sarawak, peningkatan kes kemurungan dan kesunyian turut direkodkan khususnya dalam kalangan belia dan warga emas pasca pandemik COVID-19, selain laporan 63 kes kematian akibat bunuh diri pada 2024 yang mendorong usaha memperkukuh dasar pencegahan di peringkat negeri.
Seiring perkembangan itu, Hospital Bintulu telah memperluas perkhidmatan psikiatri termasuk penyediaan wad khas sejak Januari 2024, manakala Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) Bintulu giat menjalankan saringan dalam talian.
Bengkel berkenaan akan menampilkan modul interaktif berasaskan filem Azimat, selain aktiviti seperti teknik pernafasan, yoga kesedihan, seni ekspresif dan latihan empati bagi membantu peserta mengurus tekanan emosi.
Seramai 100 peserta dijangka terlibat terdiri daripada mahasiswa, pelatih institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelajar serta ahli pertubuhan belia di Bintulu.
Program itu turut disokong oleh Yayasan Dee Hati, Teduh Jiwa Kaunseling dan Konsultansi serta Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Cawangan Miri yang masing-masing menyumbang kepakaran dalam bidang kesedihan, terapi kreatif dan intervensi komuniti.
Inisiatif tersebut diharap dapat memperkukuh jaringan sokongan komuniti sebagai ‘jaring keselamatan’ kepada individu yang berdepan cabaran kesihatan mental, selaras dengan matlamat melahirkan masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.