Bengkel lagu Iban 2026 perkasa bakat baharu, angkat warisan muzik Sarawak

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 30 peserta dari seluruh Sarawak menyertai Bengkel Lanjutan Penulisan Lirik dan Gubahan Melodi Lagu Iban 2026 yang berlangsung selama dua hari di Aka Dambai Music Studio. Foto Jesley Jabu

KUCHING: Seramai 30 peserta dari seluruh Sarawak menyertai Bengkel Lanjutan Penulisan Lirik dan Gubahan Melodi Lagu Iban 2026 yang berlangsung selama dua hari di Aka Dambai Music Studio, di sini, yang berakhir semalam.

Bengkel berkenaan menjadi platform penting dalam memperkasa bakat tempatan, khususnya dalam bidang penulisan lirik, penghasilan melodi dan penciptaan karya muzik Iban yang berkualiti serta mempunyai nilai seni yang tinggi.

Program tersebut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkembangkan industri kreatif negeri, selain memelihara dan mempromosikan seni muzik Iban.

Menurut penganjur, Jesley Jabu berkata, sokongan berterusan terhadap program seumpama itu amat bermakna dalam memastikan seni muzik Iban terus berkembang seiring dengan perubahan industri kreatif masa kini.

Menurutnya, bengkel berkenaan turut membuka ruang kepada pencipta lagu, penulis lirik dan penggiat seni tempatan untuk meningkatkan kemahiran serta memperkemas teknik penghasilan karya.

“Dengan ada sokongan seperti ini, kita berharap lebih ramai bakat baharu dapat diketengahkan dalam bidang seni muzik, khususnya muzik Iban.

“Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bengkel ini diharap dapat dimanfaatkan oleh peserta untuk terus berkarya,” katanya.

Sepanjang dua hari program, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting dalam penghasilan lagu termasuk teknik penulisan lirik, pembentukan melodi, struktur lagu serta pendekatan menghasilkan karya yang mampu menyentuh hati pendengar.

Jesley turut merakamkan penghargaan kepada kesemua peserta yang datang dari pelbagai kawasan di Sarawak atas komitmen dan kesungguhan mereka mengikuti setiap sesi bengkel.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Ts. Kaunselor Mathew Igoh yang hadir menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel serta tenaga pengajar, Matthius Mambang Bajang dan Mathew Mabong, atas perkongsian ilmu, pengalaman dan bimbingan sepanjang program.

Penghargaan turut diberikan kepada semua kru teknikal yang memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan bengkel selama dua hari tersebut berlangsung dengan lancar.

Menurut Jesley, usaha berterusan memperkasa kemahiran penulisan lirik dan gubahan melodi lagu Iban amat penting bagi memastikan warisan seni muzik masyarakat Iban terus subur dan mampu diketengahkan ke peringkat lebih luas.

“Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan karya yang berkualiti, indah didengar dan terus mengangkat identiti budaya Iban,” katanya.

Bengkel berkenaan sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam melahirkan generasi baharu pencipta lagu Iban yang kreatif, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada perkembangan industri kreatif Sarawak.

Oleh Adi Safarman