Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bengkel Kesihatan Mental RSDM perkasa komuniti, tangani stigma
  • TEMPATAN

Bengkel Kesihatan Mental RSDM perkasa komuniti, tangani stigma

Utusan Sarawak 2 hours ago
PROGRAM anjuran RSDM ini menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan awal bagi kesejahteraan mental.

KUCHING: Inisiatif Bengkel Kesihatan Mental HOPE anjuran RAKAN Sarawak Destiny Movers (RSDM) dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani salah tanggapan terhadap isu kesihatan mental serta membina komuniti yang lebih empati.

Dalam masyarakat yang semakin berkembang pesat, isu kesihatan mental kini mendapat perhatian meluas, namun masih dibelenggu persepsi bahawa ia sekadar kelemahan peribadi atau boleh diatasi tanpa sokongan.

Hakikatnya, kesihatan mental merangkumi spektrum luas, daripada tekanan harian hingga kepada keadaan lebih kompleks seperti kemurungan dan gangguan emosi yang serius.

Seiring tekanan ekonomi, ketidakpastian pekerjaan dan perubahan sosial, isu ini menjadi semakin kritikal kerana jika tidak ditangani, ia boleh menjejaskan kesejahteraan, hubungan serta produktiviti individu.

Dalam konteks itu, peranan organisasi seperti Teduh Jiwa Counselling & Consultancy, Yayasan Dee Hati dan Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Miri amat penting dalam menyediakan sokongan profesional serta ruang selamat untuk individu mendapatkan bantuan.

Bengkel HOPE yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, Miri anjuran Faradale Media-M melalui RSDM bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah menyediakan platform interaktif bagi dialog terbuka, refleksi diri serta perkongsian pengalaman.

Program tersebut turut melibatkan profesional kesihatan mental dan kaunselor bagi membantu peserta mengurus emosi dengan lebih sihat serta mempromosikan saluran sokongan yang mudah diakses dalam komuniti.

Inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan stigma selain menggalakkan orang ramai mendapatkan bantuan awal sebelum masalah kesihatan mental menjadi lebih serius.

Sebagai kesinambungan, bengkel bertajuk ‘Unmask the Mind to Thrive and Flourish’ akan diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu pada 18 April ini, menyasarkan golongan belia.

Program berkenaan akan menampilkan sesi interaktif termasuk refleksi berpandu, aktiviti berkumpulan dan latihan praktikal bagi meningkatkan kesedaran diri serta hubungan komuniti.

Ia turut menghimpunkan penceramah daripada Mentari Bintulu, Yayasan Dee Hati dan Teduh Jiwa Counselling & Consultancy bagi memperkukuh ekosistem sokongan kesihatan mental.

Bengkel tersebut mendapat sokongan dan tajaan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) yang komited terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat, khususnya dalam memperkasa kesejahteraan komuniti.

RAKAN Sarawak dan Faradale Media-M berharap program ini mampu memberi pendedahan kepada belia mengenai kepentingan kesihatan mental serta saluran sokongan yang tersedia.

Menurut penganjur, sebagai peneraju masa depan negeri, golongan muda perlu dilengkapi dengan daya tahan emosi dan keseimbangan mental serta fizikal bagi menghadapi cabaran kehidupan moden.

“Kecergasan mental dan fizikal yang baik adalah kunci kepada produktiviti tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, masyarakat digesa mengamalkan keseimbangan tersebut dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi yang sihat dari segi fizikal dan mental, sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan negeri.

Continue Reading

Previous: Khairuddin galas peranan baharu pantau pendidikan tinggi Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.