Bengkel Gendang Rayah perkasa warisan Iban, tarik penyertaan generasi muda

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik semasa merasmikan Bengkel Gendang Rayah yang berlangsung selama dua hari di Rumah Thomas Sigat, Sungai Brangan, Babas Mali, semalam. Foto ADUN Krian

SARATOK: Bengkel Gendang Rayah yang berlangsung selama dua hari di Rumah Thomas Sigat, Sungai Brangan, Babas Mali, berjaya mencapai matlamat dalam memperkukuh pemeliharaan seni budaya masyarakat Iban menerusi penglibatan aktif golongan belia dari sekitar Saratok dan Roban.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, beliau berkesempatan menghadiri majlis penutupan program berkenaan yang disifatkannya sebagai satu inisiatif penting bagi memastikan warisan budaya masyarakat Iban terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurut beliau, program itu dianjurkan oleh Ensera Creatives Sdn. Bhd. yang diterajui Sydney Atin Assom dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak (MSS) serta Pusat Khidmat ADUN N.39 Krian, sekali gus membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa seni tradisional.

Katanya, bengkel tersebut berjaya menarik penyertaan seramai 29 peserta terdiri daripada golongan muda dari beberapa rumah panjang sekitar Saratok dan Roban yang berminat mendalami seni permainan gendang rayah.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada aspek teori berkaitan sejarah, asal usul, fungsi serta kepentingan gendang rayah dalam adat dan budaya masyarakat Iban sebelum mengikuti latihan amali yang dikendalikan oleh pengajar muzik berpengalaman, Assom Lutik, yang juga seorang pesara.

FRIDAY Belik bersama peserta Bengkel Gendang Rayah dan tetamu kehormat selepas majlis penutupan program yang memperkasa usaha pemeliharaan seni budaya masyarakat Iban di Rumah Thomas Sigat, Sungai Brangan, Babas Mali. Foto ADUN Krian

Friday berkata, pendekatan yang menggabungkan pembelajaran teori dan latihan praktikal mampu memberikan kefahaman lebih mendalam kepada peserta mengenai nilai warisan budaya, sekali gus meningkatkan kemahiran mereka dalam memainkan alat muzik tradisional tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ensera Creatives atas inisiatif menganjurkan program berkenaan yang disifatkan amat bermanfaat kerana mampu menyemai minat serta memperluaskan pengetahuan generasi muda terhadap adat, permainan tradisional dan budaya masyarakat Iban yang semakin berdepan cabaran arus pemodenan.

Menurutnya, usaha memelihara seni warisan perlu diperkasakan secara berterusan agar identiti budaya masyarakat Iban tidak luput ditelan zaman, selain menjadi medium untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti.

Majlis penutupan itu turut dihadiri Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) Datu Dr. Nielson Ilan Mersat, Pemanca Thomas Lamit, Penghulu Josephine Entira, para tuai rumah serta ahli majlis yang bersama-sama memberikan sokongan terhadap usaha pemeliharaan warisan budaya tersebut.

Friday berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diperluaskan ke kawasan lain pada masa hadapan supaya usaha memelihara, menghargai dan mengangkat adat, permainan tradisional serta budaya masyarakat Iban dapat diteruskan demi manfaat generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman