


SELAMAT DATANG…..Ketibaan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh disambut meriah oleh warga SK Sarikei.
SARIKEI: Penganjuran Bengkel Digital dan STEM Playground bertujuan memupuk minat, kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar terhadap subjek Reka Bentuk dan Teknologi serta penggunaan aplikasi kreatif secara interaktif.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh, berkata inisiatif ini turut menyokong pembangunan kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pengisian program ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang STEM secara praktikal dan menyeronokkan, sekaligus merangsang pemikiran kreatif serta menggalakkan mereka mencuba teknologi baharu dalam suasana pembelajaran yang interaktif,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Digital Peringkat Negeri dan Tegas Mini STEM Playground di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei, hari ini.


Menurut Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, program ini amat penting dalam melahirkan generasi muda celik digital, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran era teknologi masa kini.
“Usaha seperti ini menyumbang secara langsung kepada pembentukan modal insan menyeluruh dari segi intelek, sahsiah, emosi, rohani dan sosial, dengan matlamat melahirkan pelajar yang bijak, berakhlak, berdisiplin, berdaya saing, inovatif serta berwawasan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa STEM Playground pertama kali dianjurkan pada 2017 bersama Sarawak Career and Training (SCaT) Fair, diikuti dengan penganjuran Mini STEM Playground di SK Taba Sait, Padawan pada 2024 dan di SK Pantu, Sri Aman pada Februari lalu.
Bengkel Digital kali ini merangkumi pelbagai aktiviti menarik dan interaktif seperti 3D Double Arts, Flight Simulator, Fun with Robomaster, Fly with Drone, Smart Mind Games, Virtual Reality Experience, Mbot Robot, mTiny Robot dan Creative Build with Smart Straw, yang memberi peluang kepada murid untuk mencuba sendiri sepanjang program berlangsung.
Turut hadir Pegawai Tadbir Residen Sarikei, Azryn Naim Zolkefli selaku wakil Residen Sarikei, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung dan Guru Besar SK Sarikei, Jafri Pahari.
Oleh Earl Anek