KUCHING: Seramai 100 peserta menyertai Bengkel Awam Eco Enzim anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) di Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 Kuching, hari ini.
Menurut kenyataan, program ini disertai peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk profesional perniagaan, petani, pendidik, pelajar, pengamal perubatan, pemimpin komuniti, pesara, dan suri rumah.
Katanya, program bertemakan “Bagaimana Mengekalkan Langit Biru” ini bertujuan untuk menyokong inisiatif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) dengan fokus kepada kelestarian alam sekitar.
Bengkel tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Dalam pada itu, bengkel ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, serta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Ia juga dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan Umum Cina Kuching dan Eko Enzim Malaysia dengan objektif mempromosikan prinsip perlindungan alam sekitar serta mendorong gaya hidup lebih lestari dan mesra alam.
“Bengkel ini memberi tumpuan kepada pelbagai aplikasi Eko Enzim, termasuk penggunaannya di rumah, penjagaan peribadi, pertanian semula jadi, serta sesi praktikal menghasilkan Eko Enzim,” katanya.
Presiden ACCCIS Kong Chiong Ung berkata, sebagai organisasi perniagaan terkemuka dalam komuniti pernigaaan Sarawak, ACCCIS mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan perlindungan alam sekitar.
Beliau berharap bengkel ini dapat menjadi titik permulaan untuk menginspirasi masyarakat agar aktif menyertai usaha kelestarian alam.
Pada masa sama, Kho Teck Wan berkata, Kerajaan Sarawak telah menjadikan pembangunan mampan sebagai fokus utama strategi terasnya.
“Kerajaan Sarawak melalui PCDS 2030 telah mengutarakan visi yang berpaksikan kepada kelestarian alam sekitar dengan aktif memajukan inisiatif tenaga bersih dan dasar pengurangan karbon,” katanya.