
BINTULU: Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) diperkukuh menerusi penyertaan mereka dalam bengkel ‘Rapid Prototyping Using AI’ di Hab Inovasi Digital TEGAS di sini, baru-baru ini.
Bengkel di bawah siri #InnovateSarawak itu memberi peluang kepada pelajar kursus Keusahawanan Asas (MGM3180) untuk memahami secara langsung bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan dalam proses mencetus idea, menghasilkan prototaip serta menilai keberkesanan penyelesaian yang dibangunkan.

Sesi pembelajaran dikendalikan Pengasas Turbospark, Qaiyyum Hakimi manakala penyertaan pelajar diselia pensyarah, Dr Sharon Ong Yong Yee bagi memastikan mereka dapat mengaplikasi teori yang dipelajari di bilik kuliah dalam konteks sebenar industri.
UPMS dalam satu kenyataan berkata, pendedahan kepada teknologi inovatif merupakan komponen penting dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya cipta serta mampu menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja digital.
Dalam pada itu, pihak UPMS turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Turbospark atas sokongan berterusan dalam menyediakan platform pembelajaran yang mendorong pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.
Oleh Carolyne Utih