TATAU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Steven Jeli di Muput ditutup pagi tadi, namun keprihatinan terhadap keselamatan mangsa banjir terus diberi keutamaan.
Seramai 707 mangsa banjir dan 38 mangsa tanah runtuh masih berlindung di PPS SMK Tatau dengan pihak berkuasa terus memantau situasi.
Komander Operasi Bencana Daerah Tatau merangkap Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, paras air didapati masih tinggi dan belum selamat bagi sesetengah penduduk kampung.
“Setelah berbincang dengan pihak bomba, saya memutuskan untuk tidak membenarkan penduduk yang mana rumahnya masih ditenggelami banjir untuk berpindah ke rumah masing-masing atas faktor cuaca dan paras air yang masih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan untuk tidak membenarkan pemindahan semula mangsa banjir yang rumahnya masih ditengelami air menunjukkan bahawa keselamatan adalah keutamaan.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan, dengan fokus utama terhadap risiko kesihatan akibat air banjir yang masih tidak selamat.
Walaupun PPS Rumah Steven Jeli ditutup, PPS SMK Tatau tetap beroperasi sebagai pusat perlindungan bagi 745 orang mangsa yang belum dapat pulang ke rumah.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa memastikan tidak ada risiko yang diambil walaupun pemindahan semula semakin mendesak.
Oleh Carolyne Utih