TATAU: Dalam menghadapi bencana banjir luar biasa yang melanda Daerah Tatau, satu kisah ‘heroic’ muncul daripada seorang pendidik yang tidak mengenal batas demi masa depan pelajarnya.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, Dr Layang Ugek mengambil tindakan berani dengan memandu lebih 60 kilometer (km) merentasi jalan yang dilanda banjir untuk menyelamatkan dua pelajarnya yang terkandas akibat bencana tersebut.
Watson dari Rumah Serai, Sungai Muput dan Cynthia dari Rumah Kelisop, Nanga Pelawa di Ulu Anap, kedua-duanya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dijangka menduduki peperiksaan subjek Biologi, Isnin ini 3 Februari.
Namun, keadaan banjir yang teruk menyukarkan mereka untuk hadir ke sekolah.
Tidak rela melihat masa depan pelajarnya terjejas, Dr Layang mengharungi laluan banjir yang hanya boleh dilalui pacuan empat roda termasuk melalui Sangan yang berisiko tinggi.
Keputusan berani Dr Layang tidak berhenti di situ apabila beliau turut mengatur perjalanan Cynthia yang dihantar oleh bapanya menggunakan perahu panjang selama satu setengah jam ke Rumah Steven Jeli sebelum dipindahkan ke Rumah Joseph untuk disambut dan dihantar ke SMK Tatau.
“Keutamaan saya adalah untuk memastikan semua pelajar kami dapat hadir dan menghadapi peperiksaan mereka tanpa sebarang halangan.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu pelajar yang mempunyai kekangan untuk hadir ke sekolah jika masalah banjir.
“Masa depan pelajar amat penting, sebab itu apa sahaja masalah yang menghalang mereka menduduki SPM, kita akan bantu,” kata beliau dengan penuh tekad.
Selain itu, SMK Tatau juga berperanan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk lebih 700 mangsa banjir dan tanah runtuh, di mana Dr Layang bersama pasukannya bekerja tanpa henti untuk memastikan kesejahteraan mangsa-mangsa terjejas.
Usaha beliau menjadi simbol dedikasi seorang pendidik yang meletakkan masa depan pelajarnya sebagai keutamaan, mengatasi segala cabaran yang mendatang.
Semangat yang ditonjolkan oleh beliau memberikan harapan dan inspirasi kepada semua, membuktikan bahawa dengan semangat berani dan kasih sayang, tiada halangan yang tidak dapat dihadapi.
Oleh Carolyne Utih