DEBAK: Bencana alam seperti banjir yang berlaku di beberapa bahagian di negeri ini pada masa kini disifatkan sebagai banjir terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, keadaan cuaca yang dijangka lebih buruk seperti yang diumumkan oleh Jabatan Meteorologi (MET) telah terbukti benar, dengan hujan lebat yang berlarutan dalam tempoh dua hari terakhir menyebabkan banjir yang sangat teruk, terutamanya di Bintulu.
“Keadaan banjir yang berlaku ini telah melibatkan beberapa kawasan di Sarawak, terutama kawasan bandar dan kawasan pinggir laut.
“Beberapa tempat juga telah dilanda tanah runtuh dan jalan terputus hubungan. Oleh itu, saya ingin menasihati masyarakat Sarawak, khususnya yang tinggal di kawasan tepi sungai atau kawasan berbukit, untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada untuk tempoh satu hingga dua minggu ini, sebagaimana yang disarankan oleh pihak MET,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Berkhatan Murid-Murid Sekolah Rendah Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Dewan Melinia Debak hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu turut memberi kenyataan berkaitan bantuan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir di Sarawak dan Sabah.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan pusat kerana turut bersimpati dan menyumbang sejumlah RM25 juta untuk membantu Sarawak dan Sabah dalam usaha membaik pulih infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir ini,” katanya.
Beliau berharap rakyat Sarawak dapat terus bersabar dan sentiasa berwaspada dengan situasi semasa berhubung dengan bencana alam yang berlaku di negeri ini pada masa kini.
“Kita perlu peka dengan maklumat ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh pihak MET dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga,” katanya.
Kedua-dua pemimpin itu menggesa agar masyarakat Sarawak bekerjasama dengan pihak berkuasa dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga. Mereka turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana alam, serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk meminimumkan risiko terhadap nyawa dan harta benda.
Sementara itu, program berkhatan percuma beramai-ramai yang melibatkan murid sekolah rendah di DUN Saribas ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak itu telah mendapat penyertaan seramai 129 murid, yang terdiri daripada pelajar tahun tiga hingga rahun enam dari pelbagai sekolah di DUN Saribas.
Oleh Adi Saparman