Salah satu khazanah warisan berharga Sarawak yang terus mendapat sambutan dari generasi ke generasi adalah keringkam. Sesiapapun akan bangga menggayakan selayah (tudung kecil) atau tudung sendiri memang tergolong dalam kelasnya yang tersendiri.
Menariknya, seni warisan ini sudah mempunyai ramai pelapis untuk menghasilkannya. Justeru bukan masalah kepada sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan.
Namun bagi penenun keringkam, agak membebankan apabila benang emas dan perak yang menjadi bahan utama pembuatan keringkam kini sudah berganda-ganda mahalnya berbanding sebelum ini. Kenaikan harga ini memang dijangka kerana harga benang emas seiring dengan harga emas di pasaran. Jika harga emas naik, maka harga benang emas dengan sendirinya naik juga, begitu juga sebaliknya.
Sekarang ini seikat harga benang emas yang mempunyai lapan hingga 12 helai, bernilai lebih RM200. Justeru para penenun keringkam tidak dapat berkompromi dari segi harga kerana harga yang ditawarkan sudah meliputi jumlah benang emas yang digunakan serta upah mereka.
“Harga benang emas sekarang memang agak mahal. Saya masih ingat lagi, dalam tahun 2009, harganya RM75 seikat tetapi sekarang sudah lebih RM200. Sebab itulah harga selayah atau tudung keringkam semakin mahal,” kata Zainab Muhi, 60, yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman menyulam keringkam.
Kata Zainab, harga benang yang semakin mahal itu memang satu cabaran besar untuk para penyulam keringkam seperti beliau. Selain itu, ada ketikanya mereka berhadapan masalah untuk mendapatkan benang emas di pasaran.
Zainab berkongsi pengalaman buruk apabila beliau tidak dapat menyulam keringkam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 dahulu lantaran sukar untuk mendapatkan bekalan benang emas atau benang perak.
“Saya tak berani beli secara atas talian, takut kualitinya tidak sama. Sejak dahulu hingga sekarang, saya hanya membeli dengan pembekal tempatan yang saya percayai,” kata beliau.
Meskipun keringkam dianggap pelengkap gaya bertaraf kayangan, namun tetap ada peminatnya yang tersendiri. Ini menjadikan Zainab sibuk sepanjang tahun untuk menyiapkan tempahan para pelanggannya.
“Sebagaimana yang kita tahu, keringkam ini agak berharga, jadi sebahagian besar yang menempah adalah ‘orang besar’. Keringkam yang pernah saya jual berharga RM500 paling murah dan mencecah sehingga RM30,000 ,” kata beliau.
Jadual penyiapan tempahan keringkam Zainab biasanya penuh sepanjang tahun. Oleh yang demikian, beliau tidak akan menerima tempahan baharu selagi tempahan sedia ada belum siap.
Menjelaskan tentang tempoh penyiapan tempahan pula, beliau berkata ia bergantung kepada jenis dan jumlah bunga tabur (hiasan) yang diminta oleh pelanggan.
“Jika bunganya sarat, maka harganya pun akan sarat juga sebab banyak benang emas yang digunakan. Tapi yang menariknya, keringkam ini boleh disimpan sampai mati kalau tahu menjaganya,” ujar Zainab.
Mengenai tempoh penyiapan tempahan pula, Zainab memberitahu, beliau boleh menyiapkan sehelai tudung yang kurang bunganya dalam tempoh sebulan tetapi mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk tudung yang sarat bunganya.
“Saiz standard selayah adalah 38 x 38 inci, manakala tudung paling besar yang pernah saya siapkan adalah 62 x 34 inci,” kata Zainab yang juga dibantu oleh kakaknya, Salbiah Muhi, 71, untuk menyiapkan tempahan keringkam mereka.
Selepas lebih 40 tahun menyulam keringkam, beliau memang sudah boleh dinobatkan sebagai Ratu Keringkam. Namun cepat-cepat menangkis kenyataan itu kerana katanya, kakaknya Salbiah lebih lama daripadanya mengusahakan sulaman keringkam.
Malah kini mereka berdua sudah mempunyai pelapis untuk meneruskan usaha ini kerana anak saudara mereka, Norhajiah Osman sudah mula menghasilkan tempahan, malah menubuhkan syarikat sulaman keringkam mereka sendiri atas nama Sazalia Warisan Craft.
Oleh HAINI DARANI