
CERPEN “Beluru dan Kun Kepen Akek Yah” karya Jacquelyne Ekot hadir sebagai sebuah karya sulung yang memperlihatkan keberanian seorang penulis baharu mengangkat dunia yang ada di depan matanya: rumah panjang, dapur benun (kayu), makanan tradisi dan generasi tua yang sedang perlahan-lahan meninggalkan kita.
Dalam arus kemodenan kini, pilihan penulis memusatkan cerita pada Akek Yah, beluru dan kun kepen merupakan satu keputusan yang wajar dipuji. Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pernah menulis bahawa penulis yang benar-benar menyumbang kepada bangsanya ialah penulis yang “tidak meminggirkan tanah air dan sejarah kecil orang biasa” dan cerpen ini jelas bergerak searah dengan gagasan tersebut.
Kekuatan utama cerpen ini terletak pada tiga perkara: keberanian tematik, kehadiran watak Akek Yah yang bertenaga dan kekayaan latar budaya. Tiga unsur ini memberi cerpen ini roh dan semangat yang jelas.
Namun, untuk menjadi cerpen yang benar-benar matang dan meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca, aspek struktur, konflik, pergerakan emosi dan bahasa masih perlu dimurnikan secara lebih teliti.
Keberanian Budaya, Watak Akek Yah dan Dunia Dapur Benun
Cerpen ini memiliki asas yang kukuh dari sudut tema. Penulis tidak menulis tentang tempat yang jauh atau suasana yang dipinjam, sebaliknya berpijak pada bumi Kejaman yang dilihat atau dialaminya sendiri.
Makanan seperti beluru, kun kepen, sigu pakeu, tud’len dan pelbagai istilah lain bukan sekadar disebut sepintas lalu tetapi dimasukkan sebagai sebahagian daripada kehidupan watak-watak.
Inilah yang sering ditekankan oleh tokoh seperti Baha Zain yang menyatakan bahawa sastera daerah dan etnik tidak harus malu menjadi dirinya sendiri kerana pada kejujuran itulah kita menemukan nilai universal.
Kehadiran watak Akek Yah merupakan suatu pencapaian tersendiri. Penulis berjaya membentuk watak seorang nenek yang mempunyai suara, kehendak dan prinsip hidup.
Akek Yah bukan sebagai patung tua yang menunggu ajal tetapi tenaga yang menggerakkan cerita.
Ketegasannya memaksa Mujan mengangkat barang, kegigihannya mengumpul bahan dan kesungguhannya mahu memasak mengikut adat lama; semuanya menunjukkan bahawa penulis memahami tentang semangat yang wujud dalam dunia sebenar.
Watak seperti ini mengingatkan kita kepada cara Shahnon Ahmad membina watak-watak desa yang keras di luar tetapi sarat kasih di dalam.
Latar dapur benun, perjalanan mencari daun dan suasana kampung yang digambarkan dengan teliti juga merupakan kelebihan cerpen ini.
Pembaca dapat membayangkan ruang yang dihuni oleh setiap watak seolah-olah berdiri di ambang dapur memerhatikan api kayu yang menyala. Latar sebegini menjadikan cerpen ini tidak terapung, sebaliknya berakar.
Di sinilah penulis telah melakukan sesuatu yang benar. Kekurangan yang bakal dibincangkan selepas ini bukan bermakna asas cerpen tidak baik, tetapi kerana asas itu sudah kukuh, penambahbaikan menjadi lebih bermakna.
Pembukaan: Keindahan Suasana Yang Belum Memancarkan Hala Cerita
Walaupun pembukaan cerpen ini mempunyai kekuatan dari segi latar suasana, hala tuju naratifnya masih belum jelas.
Penulis memulakan cerpen dengan menggambarkan perjalanan Mujan dalam hujan dan suasana kampung. Ini satu permulaan yang lembut dan melankolik.
Namun, menurut A. Samad Said, pembukaan cerpen yang baik bukan sahaja mengundang pembaca masuk ke dalam cerita tetapi juga memberi semacam “janji” tentang apa yang bakal digarap.
Dalam cerpen ini, pembaca hanya tahu bahawa Mujan pulang membawa barang permintaan Akek Yah tetapi belum merasakan bahawa sesuatu yang besar sedang terancam atau bakal hilang.
Di sini, penulis boleh memperkuat pembukaan dengan menanam tanda awal konflik dan ancaman yang bakal dihadapi. Misalnya, ayat dalam cerpen yang ditulis secara parafrasa:
“Mujan melangkah pulang dalam hujan renyai sambil menggalas plastik berisi bahan pesanan Akek Yah.”
Penulis boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih berlapis seperti berikut:
“Mujan melangkah pulang dalam hujan renyai, tetapi bayangan wajah Akek Yah yang kelihatan terlalu pucat ketika menelefonnya pagi tadi masih menghantui kepala. Langkahnya berat, bukan sekadar kerana plastik besar di tangan, tetapi kerana firasat yang sukar dia namakan.”
Perubahan kecil sebegini sudah memberi pembaca petunjuk bahawa cerpen ini bukan sekadar tentang urusan dapur tetapi juga tentang keuzuran, masa yang hampir tamat dan hubungan yang perlu dikejar sebelum terlambat.
Dengan kata lain, pembukaan bukan lagi hanya cantik tetapi juga mengandungi arah emosi.
Pembinaan Konflik: Daripada Rutin Harian kepada Pertarungan Nilai
Konflik utama cerpen ini adalah pertentangan antara tradisi dengan sikap generasi muda terhadap warisan tersebut.
Konflik ini sebenarnya sangat kuat secara idea tetapi dari sudut pelaksanaan, pertentangan ini muncul terlalu lewat dan tidak dibangunkan secara bertahap.
Hampir separuh pertama cerpen ini diisi dengan babak Mujan mengangkat barang, mengikut Akek Yah, melihat persiapan tetapi ketegangan emosi watak masih rendah. Cerita seolah-olah berjalan di permukaan tanpa gelombang.
Teori naratif yang sering dibahaskan oleh pengkritik seperti Anwar Ridhwan menekankan bahawa konflik dalam cerpen harus muncul seawal suku pertama, walaupun dalam bentuk kecil.
Cerpen ialah genre yang padat dan tidak mempunyai ruang seluas novel untuk berlama-lama dengan adegan yang tidak memacu konflik.
Dalam cerpen ini, konflik hanya benar-benar meletus apabila Ita menghina makanan tradisi dan menimbulkan kemarahan Emak.
Penulis boleh memperbetulkan masalah ini dengan menyelitkan konflik kecil sejak awal. Sebagai contoh, ketika Mujan pertama kali menerima senarai barang daripada Emak, penulis boleh menambah dialog seperti, “Mak, zaman sekarang orang tak makan dah kun kepen macam ni. Tak boleh pesan lauk biasa saja?”
Reaksi Emak yang sedikit tersinggung tetapi tetap mempertahankan permintaan Akek Yah akan menjadi gelombang kecil pertama.
Begitu juga dengan babak di dapur sebelum puncak konflik. Dalam cerpen berkenaan, Ita hanya benar-benar menentang sewaktu adegan terakhir.
Penulis boleh memanaskan ketegangan lebih awal dengan dialog ringkas seperti berikut:
Ita memegang daun tud’len dengan hujung jari. “Nenek tak bosan ke buat benda susah macam ni? Orang sekarang pesan sahaja makanan. Senang.”
Akek Yah hanya menjawab dengan senyum nipis, tetapi di hujung senyum itu ada garis kecewa.
Contoh pengubahsuaian seperti ini menunjukkan bahawa adegan yang asalnya hanya sekadar rutin dapat dimanfaatkan untuk menambah lapisan konflik.
Pembaca secara perlahan merasai perbalahan nilai dan bukan hanya menyaksikan pertengkaran tiba-tiba di akhir cerita.
Pergerakan Emosi: Bukan Melompat Secara Tiba-tiba
Sebagai watak yang menjadi fokus sudut pandang, Mujan perlu menjalani satu perjalanan emosi yang jelas.
Dalam cerpen ini, emosinya banyak digambarkan sebagai jengkel, penat dan penuh keliru sebelum tiba-tiba dia menjadi sedih apabila Akek Yah meninggal dunia. Perubahan ini wujud tetapi tidak dibina dengan halus.
Pembaca tidak sempat menyaksikan proses pertukaran rasa, hanya melihat hasil akhirnya sahaja.
Pengkritik seperti Mana Sikana sering mengingatkan bahawa watak cerpen yang berkesan ialah watak yang mengalami “gerak jiwa” yang dapat dikesan.
Gerak jiwa bukan semata-mata perubahan keputusan tetapi perubahan cara memandang sesuatu. Untuk mencapai hal ini, penulis boleh memanfaatkan monolog dalaman dan penggunaan simbol.
Contohnya, ketika Mujan berada di benun melihat Akek Yah mengacau beluru, penulis boleh menambah perenggan seperti berikut:
Mujan memerhati lenggok tangan tua itu. Di celah-celah kepulan asap dan bunyi kayu retak, tiba-tiba dia teringat bagaimana tangan yang sama pernah mengangkatnya ketika dia terjatuh dari tangga rumah panjang dulu. Dahulu dia ketawa, tidak memikirkan apa-apa tentang usia. Hari ini, setiap urat halus di tangan itu kelihatan seperti garisan masa yang tidak mungkin diundur.
Dengan memasukkan renungan seperti ini, pembaca melihat perubahan dalam diri Mujan berlaku secara beransur-ansur.
Kejengkelan yang sejak tadi menebal mula ditandingi oleh rasa sayang, kesal dan perasaan takut kehilangan seseorang.
Maka apabila klimaks kematian datang, kesedihan yang dialami Mujan terasa lebih sahih kerana pembaca telah menyaksikan perjalanan fikirannya.
Watak Emak dan Adik Ita: Daripada Fungsi Kepada Manusia yang Hidup
Watak Emak dan Adik Ita dalam cerpen ini sebenarnya memegang fungsi yang penting tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis.
Emak menjadi jambatan antara generasi. Dia masih hormat kepada ibunya tetapi dalam masa yang sama memahami kerewelan anak-anak. Adik Ita pula mewakili generasi muda yang semakin jauh daripada tradisi.
Namun, mereka lebih tampak sebagai pelengkap cerita dan alat untuk menggerakkan konflik dan bukan sebagai manusia dengan kerumitan emosi.
Kedalaman watak boleh ditingkatkan dengan menambah detik kecil yang menyingkap dunia batin mereka.
Sebagai contoh, selepas menegur Ita yang meninggikan suara kepada Akek Yah, Emak boleh digambarkan duduk di hujung katil neneknya, memerhatikan ibu tua itu tidur dengan nafas yang pendek, sambil berbisik perlahan, “Mak, janganlah paksa diri sangat. Saya takut tak sempat…”
Adegan seperti ini menampakkan Emak sebagai seorang anak yang terikat antara tanggungjawab dengan ketakutan dan bukan sekadar ibu yang pemarah.
Adik Ita pula tidak wajar ditinggalkan sebagai remaja yang hanya mementingkan keselesaan.
Penulis boleh menambah adegan kecil di hujung cerita, misalnya dia berdiri di pintu dapur memerhatikan beluru yang tumpah, kemudian memegang sedikit di hujung jarinya sambil menahan air mata yang tidak mahu jatuh.
Dia mungkin tidak menyuarakan penyesalan secara lantang tetapi pembaca akan mengerti bahawa konflik dalam dirinya baru sahaja bermula.
Hal-hal kecil seperti ini akan memberikan kesan bahawa kematian Akek Yah; bukan hanya mengubah Mujan tetapi seluruh isi rumah.
Bahasa Cerpen: Kekuatan Leksikal dan Keperluan Pemurnian
Tidak dinafikan bahawa bahasa cerpen ini mempunyai kekuatan besar dalam aspek leksikal.
Penulis berani memberikan ruang kepada istilah Kejaman tanpa rasa perlu “menerjemahkannya” secara agresif.
Strategi ini betul kerana pembaca dapat belajar memahami melalui konteks, sambil mengekalkan keaslian dunia yang dilukiskan.
Namun dari segi struktur ayat dan pengurusan dialog, masih wujud kelemahan ketara. Ayat-ayat panjang berlapis yang mengandungi pelbagai klausa kadangkala melemahkan tumpuan.
Perasaan jengkel, penat dan marah diulang berkali-kali dengan kata yang sama tanpa variasi ekspresi. Di sini, pandangan Shahnon Ahmad bahawa bahasa cerpen harus “tajam seperti mata keris” boleh dijadikan panduan.
Bahasa yang tajam tidak semestinya bombastik, tetapi terpilih dan padat. Sebagai contoh, terdapat ayat parafrasa dalam teks asal:
Mujan berasa sangat jengkel dan penat, lalu menolak plastik besar berbau hampas itu sambil merungut dalam hati.
Penulis boleh memurnikannya menjadi:
Mujan menghela nafas panjang. Plastik besar yang berbau hapak itu ditolaknya dengan hujung kaki. Dia tidak sanggup lagi mengadu, hanya membiarkan rungutan berlegar dalam kepalanya.
Perubahan ini tidak mengubah makna asas tetapi memberikan lebih banyak gerak tubuh dan suasana, menggantikan pengulangan kata sifat yang sama.
Dialog Akek Yah dan watak lain juga boleh dipendekkan sedikit tanpa mengorbankan maklumat. Dialog yang terlalu sarat fakta boleh memberi kesan seperti syarahan dan bukannya percakapan semula jadi.
Menurut Usman Awang, dialog yang baik ialah dialog yang “mengalir seperti percakapan sebenar tetapi membawa makna lebih besar daripada sembang biasa.”
Sebagai contoh, penulis menerangkan sejarah beluru melalui dialog Akek Yah dengan sangat panjang.
Penulis boleh memecahkannya kepada dialog dan aksi:
Akek Yah meramas adunan, berhenti seketika untuk menarik nafas, lalu berkata, “Dulu, bila atuk kamu pergi memburu, beluru inilah yang dibawa. Tak ada bekas cantik. Cuma daun dan tangan.”
Mujan terdiam manakala Adik Ita menjeling sambil memegang telefon.
Dengan cara ini, maklumat sejarah masih sampai, tetapi dalam bentuk dramatik.
Klimaks dan Penutup: Simbolisme Yang Memerlukan Persediaan dan Gema
Bahagian paling mengesankan dalam cerpen ini ialah klimaks kematian Akek Yah dan tumpahnya beluru. Simbolismenya kaya.
Beluru yang tumpah ke lantai seperti warisan yang tidak sempat dipindahkan sepenuhnya kepada generasi baharu.
Namun, kekuatan simbolisme ini akan menjadi lebih besar jika dibina dengan persediaan emosi yang lebih rapi sebelum dan selepas detik tersebut.
Sebelum klimaks, penulis boleh menambah beberapa tanda kecil seperti Akek Yah lebih kerap berhenti menarik nafas atau tangannya tiba-tiba menggigil ketika mengangkat mangkuk.
Tanda halus seperti ini, yang disebut oleh sebahagian pengkritik sebagai “foreshadowing lembut,” akan membuatkan pembaca lebih bersedia dan lebih tersentuh apabila kematian benar-benar berlaku.
Selepas klimaks, bahagian penutup dalam cerpen agak cepat berakhir. Di sini, pandangan Muhammad Haji Salleh bahawa cerita yang baik mesti “berkumandang selepas noktah” wajar diingat.
Penutup boleh dipanjangkan sedikit dengan memberi ruang kepada refleksi watak Mujan. Misalnya, penulis boleh menambah gambaran Mujan duduk di lantai dapur, memungut satu demi satu sisa beluru dengan tangan yang terketar, sambil teringat kata-kata Akek Yah tentang makanan sebagai kenangan.
Gema emosi ini akan membuatkan pembaca membawa pulang sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar kisah kematian.
Ciri-Ciri Cerpen yang Baik
Jelas bahawa penulis sebenarnya sudah memiliki beberapa ciri untuk menghasilkan cerpen yang baik, khususnya keberanian tematik, kekuatan watak utama dan kekayaan latar.
Namun, beberapa ciri lain perlu terus diasah. Antaranya ialah kejelasan konflik sejak awal, pergerakan emosi watak yang bertahap, penggunaan bahasa yang lebih ekonomis tetapi bermakna dan penutup yang memberi gema.
Cerpen yang baik tidak semestinya kompleks tetapi jelas dalam hala tuju dan jujur dalam pengalaman yang harus diiringi oleh disiplin teknik.
Melalui pengubahsuaian yang dicadangkan, penulis akan dapat melihat bagaimana satu adegan yang sama boleh menjadi lebih padat dan kuat hanya dengan sedikit perubahan ayat, penambahan monolog atau pengurangan repetisi.
Ternyata “Beluru dan Kun Kepen Akek Yah” ialah permulaan yang baik dan menjanjikan.
Cerpen ini sememangnya belum sempurna dari segi teknikal tetapi telah menunjukkan bahawa penulis mempunyai sesuatu yang penting untuk dikongsikan: sebuah dunia kecil yang sarat makna dan sayang.
Dengan bimbingan dan usaha berterusan, tidak mustahil penulis akan menjadi suara masa hadapan yang memperjuangkan warisan etnik dan kemanusiaan secara lebih mendalam dan berkesan.
Oleh Abang Median Abang Said