Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Beluru dan Kun Kepen Akek Yah
  • WBS

Beluru dan Kun Kepen Akek Yah

Utusan Sarawak 1 day ago

SUASANA gerimis kesan sisaan hujan menemani perjalanan keretanya di pagi Jumaat itu. Landasan lengang aspal ditekur penuh waspada. Sesekali rasa teruja hendak segera tiba ke haluan yang dituju, mengacah di liang benak. Sepertimana lonjakan perasaan ingin tahu yang turut membuak-buak.

            Dia sedar. Kepulangan kali ini agak berbeza dari kebiasaan. Meskipun perjalanan berulang-alik ke Leveuk Dareu sudah menjadi rutin peribadinya saban waktu.

Terutama bagi menziarah emak yang mendiami rumah pusaka peninggalan moyang. Juga menjengok Akek Yah yang kian uzur dimamah waktu.  Apatah lagi, bersangkut-paut dengan upacara pernikahan adik bongsunya pada hujung minggu itu.

Ulas bibir mengulum senyum. Tancapan mata utuh menumpu pada pemanduan di hadapan. Terkadang sempat melirik pula pada selonggok plastik besar yang memenuhi ruang penumpang kereta di belakang. 

Tak semena-mena rasa lucu menjentik ke liang benak.Mengenang telatah Akek Yah, hatinya gerah berbunga-bunga. Sejak seminggu lalu, neneknya yang telah berusia senja itu tak putus-putus meneleponnya menitip peringatan. Menggesa kembali awal ke kampung halaman. Juga memesan sesuatu untuk dibawa pulang yang sama sekali tidak masuk akal.

 “Mujan, kau bawa balik barang yang Akek Yah pesan tu nanti tau. Jangan buat-buat lupa pula.”

 “Akek Yah nak buat apa dengan benda tu? Kalau dia nak ketip dan lavueng, beli saja yang dah siap. Berlambak ada orang jual.”

“Akek Yah tak nak ketip dan lavueng yang dijual tu, Mujan. Kau belikan saja apa yang dia pesan. Adalah tu yang Akek Yah hendak buatkan nanti.”

Sejenak, perbualan yang kerap berulang lewat isu yang sama itu, mengimbas ke relung ingatan. Dia spontan terbayang sebuah perkahwinan salah seorang mak cik nya; Inan Liah dulu.

Pengantin perempuannya menggayakan Ketip Bukeu ( sejenis kain bercorak dan digayakan sebagai skirt) dan Lavueng Cepetak ( sejenis aksesori kepala wanita) di kepalanya semasa majlis tersebut.

Warna Ketip Bukeu yang ringkas dan fokus kepada warna bendera Sarawak; merah,kuning dan hitam. Lavueng Cepetaknya pula berasaskan kepada sulaman manik dan digayakan dengan bulu haiwan yang disusun rapi di tepi kedua dua belah kiri kanan lavueng. Indah sekali.

Pengantin lelaki pula menggayakan Lavueng Tepo nya yang berasaskan kepada rotan yang dianyam dan dihiasi dengan bulu burung kenyalang. Kini, tiada lagi yang membuat pakaian sebegitu semasa majlis perkahwinan. Semuanya lebih suka menggayakan dress dan suit yang boleh disewa.

Senyumnya melebar tatkala mengenang dirinya malu apabila disuruh menyarungkan lavueng guai ketika itu. “Lavueng ni dibuat daripada rotan dan mesti dipakai oleh semua wanita semasa apa-apa majlis keramaian. Itu lah tandanya kamu tu anak orang Ulu” kata Akek yah waktu itu.

Dengus dihambur perlahan. Papan tanda simpang laluan masuk ke Rumah Panjang Kejaman Neh Long Liten, Belaga yang mempamer jelas di sisi jalan, membuyarkan lamunannya. Perhatian kembali menera pada suasana di sekitar. Sunyi sepi.

“Sampai juga kau, Mujan!” Senyum girang emak menyambut ketibaannya di depan pintu rumah pusaka. Getusan lega terluah di dalam hati. Perjalanan hampir empat jam dari pusat bandar Bintulu itu terasa hilang lelah sejurus menjergah paras tenang emak.

“Akek Yah mana, mak? Tak nampak bayangnya pun..” Kelibat nenek menjadi sumber pencarian pertama. Dia perasan tubuh tua itu tidak kelihatan di mana-mana. Juga tidak menyambut kepulangannya bersama emak seperti selalu.

“Ada dirumah Akek Adlop di depan tu. Ambil daun sirih katanya. Kejap lagi pulanglah akek Yah kau tu.”

Emak menjuih bibir ke arah sebuah rumah jiran terdekat dengan lagak sedikit acuh. Seakan sudah menduga pertanyaan yang diajukan.Tangan emak lincah menyambut sebuah beg pakaian yang dijinjing, lalu dibawa masuk ke ruang ibu rumah.

Sebelum sama-sama mengekornya semula ke arah kereta bagi mengangkut saki-baki barang yang ada.

“Ini barang-barang yang Akek Yah kau suruh bawak tu, ya? Ni emak tengok ni bahan-bahan untuk buat ketip. Mari emak tolong angkatkan.”

Perlawaan emak disambut dengan anggukan kecil. Termengah-mengah dia dan emak mengangkut plastik besar yang sendat berisi itu ke sudut dapur. Sempat juga dia mengomel lewat barangan pelik yang beriya-riya dipesan Akek Yah itu. Justeru mengetus rasa jengkel.

“Akek Yah nak buat apa benda ni, mak? Tu pergi mana entah pula tu. Apa-apalah Akek Yah aku ni!”

Emak terledak tawa sambil bergeleng kecil. Sememangnya mereka sekeluarga sudah arif benar dengan sikap Akek Yah. Semenjak bersara dari jawatan guru besar hampir dua puluh tahun lalu, Akek Yah agak kurang gemar memerap di rumah.

Ada sahaja agenda yang dilakukan. Malah acapkali tabiat Akek Yah begitu payah dicerna akal.

Belum pun sempat dia mereda lelah seusai menghadap hidangan enak emak, kelibat Akek Yah muncul di muka pintu. Huluran salam serta peluk cium mengiringi pertemuan itu.

Sebelum dirinya ditarik Akek Yah keluar dari rumah. Menggesa pemintaan diturut. Sekutik pun tidak mengendah tubuhnya yang masih kepenatan.

“Mari Mujan! Mujan kena tolong Akek Yah kali ini.”

“Akek Yah hendak ke mana pula ni? Kan baru balik dengan karung-karung itu..”

Dahi berlapis kerut mengenang telatah Akek Yah. Meski baru pulang, Akek Yah tetap tampak bersemangat. Padahal renikan peluh dilihat melenjun di sebujur wajah tua itu. Juga di sebahagian baju yang dipakai. Akek Yah tidak kenal erti letihkah?

“Kita ke benun (dapur kayu) di  belakang. Mujan temankan Akek Yah, ya.”

“Akek Yah hendak buat apa pula ni? Tak penat?”

“Ikut sajalah…”

Meski benak sedikit cuak, ditemani juga Akek Yah ke benun di belakang rumah. Terpegun dia melihat lincahnya Akek Yah cuba untuk menyalakan api di benun itu.

Malah, tangan tua itu gigih menarik keluar bekas tempat menyimpan tepung sagu. Jari jemarinya terus mencari lesung batu untuk menumbuk lumat kulat kerang.

“Kita masak beluru  malam ni, ya” kata Akek Yah. Hidangan yang sudah agak lama aku tidak jamah.

Hidangan daripada tepung sagu yang digentelkan dengan air dan kemudiannya akan dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam seperiuk air yang mendidih.

Sejurus itu, kulat kerang akan dimasukkan juga dan akhirnya akan diperasakan dengan garam. Sedap dimakan panas panas.

“Am balam, mi nyam” kata-kata ungkapannya dahulu ketika kecil apabila menggambarkan makanan itu sedap.

Tingkah teruja Akek Yah yang agak beriya-riya itu mencetus rasa hairan. Seakan berkehendak mengerjakan sesuatu yang sudah lama diidam.

Juga tidak sabar-sabar ingin dikotakan. Sedangkan kenduri kahwin adik bongsunya masih jauh dalam tempoh tiga hari lagi. Dia musykil.

Namun di sebalik berkeluh resah itu, dia memahami benar slot-slot agenda yang bakal ditempohnya nanti. Dia pasti dipaksa menemani Akek Yah lagi selepas ini.

Diajak ke merata tempat yang sukar dimengertikan. Juga agak payah hendak melolos diri.

Ternyata telahannya benar. Keesokan pagi, tidurnya awal-awal lagi dikejutkan Akek Yah. Dia dikerah mengekor ke leveuk dareu dan mengajak beberapa orang wanita untuk mencari daun tud’len. Sejenis daun yang biasanya digunakan untuk membalut nasi apabila nak ke kebun dahulu.

“Akek Yah buat apa nak suruh cari daun tud’len ni? Bukankah kenduri Adik Ita nanti pakai khidmat katering?” Soalnya separa memprotes.

Terbelalak mata melihat Akek Yah membawa selonggok besar daun tudl’en itu di dalam ad’lzat (sejenis beg rotan)yang digalasnya.

Padahal dia sendiri tahu, majlis perkahwinan Adik Ita diurus sepenuhnya dengan khidmat katering. Kesemua lengkap berbayar seperti dirancang. Mereka sekeluarga sememangnya tidak perlu lagi berbuat apa-apa.

“Mujan bawa semua barang ni masuk ke dalam kereta, ya. Angkat baik-baik tau.”

“Semua ni Akek Yah? Banyaknya.”

“Angkat sajalah….”

Dia menyeringai. Sudahlah pertanyaannya tidak disahut, Akek Yah selamba mengutus arahan sambil bersenyum simpul pula.

“Oh ya! Nasib baik Mujan ingatkan tentang katering tu. Kita singgah ke tempat katering pula sekejab nanti, ya. Akek Yah nak ambil barang.”

“Hah!”

Rupanya episod aneh itu tidak tamat begitu sahaja. Dia dikerah menyusul ke syarikat katering yang ditempah emak.

Terlopong mulutnya memerhati Akek Yah meminta lalu melonggok seguni penuh beras ke perut kereta. Paling kaget, daun tud’len yang ada di laman bangunan rumah kedai itu pun turut dikebas Akek Yah.

“Kotornya baju kau, Mujan. Cepat pergi mandi. Nanti gatal-gatal pula satu  badan kerana miang daun tu. Hehe…”

Bercemberut muka menerima sindiran sarat geli hati emak ketika pulang ke rumah. Bibir mencibir kebengangan. Habis berbirat kulit muka dan baju yang dipakai bahana habuk yang bercampur aduk.

Pulang pula dengan plastik besar yang seiras karung sampah. Bau yang terpalit apatah lagi. Paling geram, Akek Yah hanya selamba menonong masuk dengan senyum simpul yang tetap tak lupus-lupus.

“Nenek nak masak apa sebenarnya, mak?”

Dia mengulang persoalan yang sama. Sempat dilihat beberapa paket tepung sagu di tepi tungku dapur. Sehimpun dengan longgokan daun tud’len dan juga longgokan paku pakis. Rasa pelik di hati rakus bergelinjang.

“Kau tanyalah sendiri pada nenek kau tu. Emak tak mahu masuk campur.”

Emak bersahaja mengelak sambil tersengih panjang. Dia menetap bibir. Andai hanya ingin menyediakan kun kepen, takkan diguna segala paku pakis ini pula?

Benaknya terus berteka-teki. Sehinggalah segala kemusykilan itu akhirnya terbongkar secara tidak sengaja.

“Tak seronoklah kalau macam ni. Kan semua sudah kita serahkan kepada katering untuk menyediakan makanan. Ni nak kita pula kena sediakan kun kepen dan sigu pakeu. Mana ada lagi zaman makan makanan seperti dulu. Akek Yah ni lecehlah.”

Rengekan Adik Ita yang bersifat memberontak kepada emak semasa sesi persiapan malam itu memperjelaskan segalanya. Dia akhirnya tahu hidangan yang ingin Akek Yah sediakan iaitu kun kepen ( nasi putih yang dibalut dengan daun) dan juga sigu pakeu ( hidangan daripada tepung sagu bersama paku pakis, seakan akan lempeng).

“Majlis Ita bukan buat di hotel besar. Kita buat di kampung ni saja. Buat apa hendak ikut amalan yang bukan budaya kita? Kitakan ada budaya bangsa kita sendiri. Biar mati anak, jangan mati adat, Ita.” Bidas emak dalam suara separa memujuk.

“Eii! Siapa nak makan kun kepen dan sigu pakeu lagi zaman sekarang ni, mak.. Belum tentu sedap. Nanti  terbuang saja tidak dimakan.” Cemuh Adik Ita dengan bibir mencemik sinis.

“Mulut jangan celupar, Ita. Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar!”

Emak menempelak baran. Jegil mata emak jelas mempapar rasa kurang senang lewat keceluparan Adik Ita. Juga bagai resah andai kata-kata itu tertempias ke telinga Akek Yah yang menghuni di kamar sebelah. Dia yang turut berada di situ hanya memerhati dalam diam.

“Kun kepen ni penting buat kita, Ita. Dahulu kala tiada bekas untuk menyimpan nasi untuk dibawa ke hutan kalau pergi memburu. Nasi panas itu akan dibalut dengan daun tud’len itu lah. Lagi satu, nasi yang dibalut dengan daun sebegitu lebih nyaman dan tahan lama. Dan tak perlu lagi menggunakan pinggan. Ianya tradisi kita yang kita boleh teruskan. Sigu Pakeu itu pula hidangan semasa keramaian dan hidangan tepung sagu ni merupakan makanan ruji nenek moyang kita dahulu kala. Walaupun ianya sejenis lempeng daripada tepung sagu dan paku pakis. Tetapi, nilai sentimentalnya sangat tinggi”

Tanpa disangka-sangka suara Akek Yah bergiang dari arah belakang. Bersela kepala Akek Yah menjengol dari balik muka pintu bilik yang separa dikuak. Dia dan emak serta-merta terpempan sambil saling berpandangan sesama sendiri. Adik ita yang turut terkejut lewat kemunculan itu, spontan menundukkan wajah. Sedikit mempamer rasa kesal.

“Zaman dulu-dulu, hidangan inilah yang dibawa orang buat bekal pergi ke kebun atau pergi memburu di hutan. Nasinya tahan lama.” Sambung Akek Yah dalam lagak bersungguh. “ Sigu Pakeu itu pula salah satu makanan ruji nenek moyang kita dulu, sedap dimakan panas panas” Wajah tegang ketiga mereka di kilas mata Akek Yah silih berganti. Emak dan Adik Ita diam tak berkutik. Dia turut kehilangan kata-kata.

“Orang dulu-dulu amat berpegang adat. Sajian nasi itu ada pelbagai jenis, salah satunya kun kepen tu. Malahan, ada juga nasi yang dicampur dengan adunan tepung sagu dinamakan kun lacen. Pendek kata, sajian nasi ada cara tersendiri menurut budaya…” Akek Yah meneruskan hujah dalam sehela nafas.

“Lepas tu, hidangan nasi pulut juga turut ada dihidang dahulu kala, dikenali sebagai cebateu. Beras pulut dicuci, lepas tu akan diletak ke dalam daun tud’len dan akan diikat dengan tali. Kemudian, ianya akan direbus sehingga masak. Cebateu biasanya dimakan bersama dengan kelapa parut yang dicampur gula.” Jelas Akek Yah lagi.

“Akek Yah tahu, orang sekarang sudah tak peduli lagi dengan makanan tradisi seperti ini. Macam dah dilupakan pun. Tapi selagi Akek Yah hidup, Akek Yah harap anak-cucu Akek Yah dapat merasa dan tahu serba-sedikit resepinya. Setelah Akek Yah tiada nanti, terpulanglah pada kau orang semua hendak teruskan atau tidak.”

Ungkap Akek Yah separa berkeluh lalu perlahan-lahan menyusup keluar dari bilik itu. Dia terkedu bercampur haru.

Emak juga tampak termenung jauh. Suasana di perut bilik itu terus sepi. Meski bayang Akek Yah sudah menghilang lama dari pandangan mata. Dia sedar. Pasti hati Akek Yah tersinggung sampai berhujah panjang seperti itu.

Jauh di sudut benak, dia turut dihambat rasa bersalah. Terutama bila dikenang sikap jengkelnya sendiri ketika mengekori Akek Yah di sepanjang siang tadi. Kesalnya termercup.

Lewat malam itu, dia mencari-cari kelibat Akek Yah di sekitar rumah dengan benak yang resah. Dalam diam, diperhati Akek Yah sedang sibuk dengan sebuah tungku dapur yang telah dinyala api.

Sebiji periuk sebesar kawah yang separuh diiisi air, teguh berjerang di atasnya. Sementara tangan Akek Yah lincah menggentel-gentelkan tepung sagu itu.

Lantas dia memasukkan sedikit demi sedikit ke dalam periuk yang sama dan kulat kerang tadi serta dikacau kacau sehingga pekat.

“Akek Yah masak beluru ke tu?… Errr… Boleh Mujan tolong?” Terkial-kial gugup dia menyapa. Dengan lagak kekok, dia duduk bersimpuh di sebelah Akek Yah. Cuba memaniskan wajah.

“Ya, Akek yah teringin nak makan beluru. Tolong Akek Yah bersihkan kulat kerang ni boleh?” Arah Nek Su selamba.

Dia menyungging senyum. Perlawaan Akek Yah itu serba-sedikit menyurup rasa lega.Tanpa berlengah, jemari tangannya lincah melerai kulat kerang yang dilonggok berhampiran. Usai mencuci kulat kerang tersebut, dia mengambil lesung batu untuk menumbuk lumat kulat itu.

“Zaman dulu Mujan, beluru ni makanan istimewa. Orang Ulu dahulu kala, makanan rujinya berasaskan sagu. Sementara menunggu padi masak untuk dituai, sagu lah sebagai makanan ruji kami. Kehidupan dahulu bukan seperti sekarang, beras boleh dibeli di kedai saja ”

Hujah Akek Yah tanpa dipinta. Dia melirik sekilas ke paras tenang Akek Yah. Dada terasa lapang. Dia akur. Sekiranya Akek Yah sudah membuka mulut bercerita ramah seperti itu, pasti emosi sudah stabil sepersis sediakala.

“Selain daripada beluru apa lagi makanan daripada sagu Akek Yah?”  Soalnya dalam lagak ingin tahu. Lebih kepada memberi reaksi balas sebenarnya.

“Ada na’eu iaitu biasa orang panggil linut. Ianya dimakan menggunakan tu’i iaitu seakan akan penyepit dibuat daripada buluh. Na’eu dimakan bersama dengan sup ikan atau sup babi” Jelas Nek Su ramah.

“Yang sigu pakeu itu pula Akek Yah?” Tanyanya lagi.

Dia spontan membayang rupa lempeng daripada sagu dan paku pakis. Diakui rasanya begitu berbeza dari lempeng biasa.

“Sigu pakeu ini pula, dibuat daripada tepung sagu. Tepung sagu dicampur bersama sedikit garam. Lepas tu, di atas kuali panas, canaikan adunan tu tadi. Letakkan paku pakis di atas lempeng itu tadi dan dikalih kalihkan sehingga masak ranggup.” Akek Yah terus galak memberi penerangan. 

“Jadi ianya sedap dimakan panas panas ya Akek Yah?” Duganya dalam benak yang semakin rancak dengan lonjakan ingin tahu.

“Betul tu, Mujan. Sedap bila dimakan panas panas, minum dengan kopi panas lagi.” Nek Su mengiyakan dalam senyum simpul yang mulai melebar.

Dia terus berangguk menonjol reaksi berminat. Nyalaan api yang berlenggang-liuk dari bumbu tungku dapur memenuhi daya tumpuannya.

Dari menanti sambil bersimpuh, dia berkisar duduk kepada bersila. Tidak lama kemudian terus berlunjur kaki pula bahana kelenguhan. Namun disedari air dalam periuk itu tidak juga menggelegak. Dia dah tak sabar untuk memasak beluru.

“Kecilnya api tu, Akek Yah.. Lamalah hendak tunggu air menggelegak..” Getusnya lesu.

“Api memang tak boleh dinyala besar, Mujan. Biarkan sederhana nanti adunan tepung sagu hangus..” Ujar Akek Yah.

“Jadi.. lamalah kena tunggu ye, Akek Yah?” Dia menuntun kepastian.

Bergantung pada saiz kuali dan perancangan kitalah juga.” Bilang Akek Yah berkira-kira.

Kepalanya berangguk akur. Meski hati sedikit jengkel bila dikenang betapa payahnya hendak menyediakan hidangan itu.

“Susah jugalah mahu membuatnya. Nanti tak jadi pula beluru ni” Rungutnya dalam helaan nafas panjang. Akek Yah tertawa kecil lewat keluhannya itu.

“Tak semestinya kena ada semua jenis bahan ni, Mujan. Boleh memadai saja apa yang ada. Kalau takda kulat kerang, boleh gantikan dengan bahan-bahan lain seperti kuah ikan, kuah babi, kuah kulat sawit. Hasilnya akan tetap sama. Tekstur beluru tetap sama…” Jelas Akek Yah berhemah.

“Mujan… Pergilah masuk. Pergi mandi dan berehat dulu. Beluru ini biar emak tengokkan.” Emak menyergah dari tingkap dapur.

“Akek Yah mana, mak? Soalnya. Dia menguap. Rasa kantuk rakus menggeromol diri.

“Ada di biliknya lah itu. Biarlah nenek kau berehat, Mujan. Dari kelmarin orang tua tu sibuk tak menentu.” Rungut emak pula.

Dia mengiyakan. Dengan langkah longlai, dia menonong masuk ke dalam bilik. Sempat juga dia mandi membersihkan diri sebelum merebah tubuh di atas tilam lenbam. Tertidur pulas.

Sehinggalah bunyi riuh-rendah dari sudut dapur pada jam sepuluh pagi mengejutkannya dari terus berlena.

“Sudah bangun pun Kak Mujan. Marilah makan sama. Sedap ni..”

Sapaan ceria Adik Ita menyambutnya di sudut dapur. Sang pengantin muda itu tampak ralit meratah kun kepen bersama beluru. Disamping emak yang sibuk menyusun kun kepen di atas meja. Dia menjuih bibir sambil menjeling sekilas.

“Malam tadi merungut-rungut, sekarang dia melantak bagai sedang kebulur pula. Huh!” Sindirnya pada Adik Ita.

Seketika derai tawa memecah keheningan suasana. Dia disergap girang. Rasa penat gara-gara berjaga malam tadi, terus melenyap sebaik menancap longgokan kun kepen di dalam besen besar.

“Hantarkan kun kepen dan beluru ni pada nenek kau tu nanti. Mesti dia suka bila dapat jamah panas-panas begini..” Usul emak ketika dia turut leka melahap kun kepen bersama beluru.

Dia akur. Satu kun kepen disusun dalam sebuah mangkuk bersama beluru. Bergegas dibawanya ke bilik Akek Yah di ruang ibu rumah.

Tak sabar mahu melihat reaksi ceria Akek Yah ketika menerima kun kepen yang molek dimasak. Juga pada usaha yang usai dilaksana.

Dengan waspada, daun pintu bilik Akek Yah diketuk berkali-kali. Nama Akek Yah turut berseiring diseru.

Dahinya berlapis kerut. Panggilannya langsung tidak bersahut. Malah tiada sebarang bunyi pun dari perut kamar yang serba bertutup itu. Dia musykil.

Daun pintu dari kayu kukuh itu, dikuak perlahan. Dia menjejak masuk sambil mata berkeliar mencari kelibat Akek Yah. Sebelum disedar sesosok tubuh sedang berbaring mengiring di atas tilam. Utuh berselubung dengan selimutnya.

“Akek Yah! Bangunlah! Ni Mujan ada bawakan sesuatu untuk Akek Yah. Mesti Akek Yah suka!”

Dia bersimpuh di sisi Akek Yah. Menguntum senyumnya menatap jernih wajah Akek Yah yang beradu nyenyak. Tangan kanan bingkas menyentuh bahu tua itu lalu menggerak-gerakkan dalam riak prihatin.

Sebelum disedari kedua tangan Akek Yah spontan terkulai jatuh dari pangkuan badan. Malah dengus nafas neneknya itu langsung tidak ada.

Derap jantungnya terasa berhenti berdegup. Dia mengemam bibir dalam paras yang mulai memerah padam menahan tangis. Semangkuk beluru dan kun kepen yang erat di tangan kiri turut terlepas dari pegangan. Lantas jatuh bercempera di atas lantai.

“Akek Yah………!”

Oleh Jacquelyne Ekot

Continue Reading

Previous: Puisi
Next: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.