GENEVA: Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengesahkan belum ada cukup bukti bagi mengesyorkan suntikan Covid-19 khusus untuk Omicron berbanding versi asal.
Empat vaksin mRNA yang mengandungi subvarian Omicron BA.1 atau BA.4/5 dan digabungkan dengan virus leluhur, dibenarkan untuk digunakan sebagai dos penggalak.
Menurut Pakar Imunisasi Kumpulan Penasihat Strategik (SAGE) WHO, vaksin yang disesuaikan dengan varian dominan global mungkin hanya menawarkan ‘manfaat tambahan yang kecil’.
“Data yang ada pada masa ini tidak mencukupi untuk menyokong pengeluaran sebarang cadangan keutamaan bagi vaksin penggalak yang mengandungi varian bivalen, berbanding vaksin penggalak virus leluhur saja,” katanya dalam satu kenyataan.
WHO sebelum ini sudah memberi lampu hijau bagi Senarai Penggunaan Kecemasan kepada sembilan vaksin dan variasi Covid-19.
Ia merangkumi vaksin Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Janssen, Moderna, Sinovac, Sinopharm, Bharat Biotech, Novavax dan CanSinoBIO.
Setiausaha Eksekutif SAGE, Joachim Hombach berkata, sekumpulan pakar menemui vaksin yang mengandungi varian dineutralkan pada tahap sama seperti vaksin asal, dengan peneutralan yang agak lebih tinggi bagi varian Omicron.
Jelasnya, ia adalah kesan yang agak sederhana dan boleh dilihat di makmal.
Apa yang tidak boleh kami lakukan ialah mengaitkan dengan ukuran di makmal ini dengan peningkatan dalam perlindungan klinikal kerana data keberkesanan seperti itu belum tersedia.
“Vaksin ini benar-benar baik tetapi apa yang lebih penting untuk perlindungan ialah anda benar-benar mengambil vaksin sama ada diubah suai untuk Omicron atau tidak.
“Inilah yang membuat perbezaan sama ada untuk vaksin penggalak pertama atau kedua,” katanya.
Setakat 2 Oktober lalu, lebih 615 juta kes Covid-19 disahkan dan lebih 6.5 juta kematian seluruh dunia dilaporkan kepada WHO. – AFP