
BINTANGOR: Kebakaran belukar melibatkan keluasan kira-kira satu ekar telah berlaku di kawasan Batu 1/2, Jalan Kelupu, pada petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.49 petang.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba diketuai oleh komander operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK) II Herman Basa bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran belukar sedang berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, komander operasi mengarahkan anggota bomba memadam kebakaran menggunakan tiga batang pemerap api.
“Api berjaya dipadamkan dalam tempoh lebih kurang tujuh minit.
“Operasi memadam kebakaran belukar selesai sepenuhnya pada 4.12 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek