

KUALA LUMPUR: Isu buli dalam kalangan pelajar sekolah terus menjadi kebimbangan masyarakat apabila semakin banyak kes dilaporkan melibatkan keganasan fizikal dan kesan emosi yang bukan sahaja menjejaskan keselamatan pelajar malah kesejahteraan mental mereka.
Peningkatan insiden buli, termasuk yang tular di media sosial, turut mendorong kerajaan mencadangkan beberapa langkah proaktif termasuk mengehadkan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar bawah umur 16 tahun bagi membendung pengaruh negatif media sosial yang dikaitkan dengan kes buli siber, permainan dalam talian yang agresif serta isu disiplin.
Menyedari seriusnya isu berkenaan, dua selebriti tanah air, Bella Astillah dan Elizabeth Tan, turut menyuarakan kebimbangan mereka akan keselamatan generasi muda, selain menyokong langkah kerajaan itu.
Bagi pelakon dan penyanyi, Bella Astillah dan Elizabeth Tan, cadangan itu yang merupakan antara tiga langkah diputuskan Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, disifatkan mereka bertepatan dengan senario semasa yang menyaksikan pelbagai insiden mengejutkan membabitkan pelajar sekolah.
Sebagai ibu kepada Mohamed Ayden Adrean, 8 dan Ara Adreanna, 5, ini, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, mengakui mudah tersentuh setiap kali membaca pelbagai berita tentang kes buli serta jenayah yang berlaku di institusi yang disifatkan sebagai selamat ini.
“Buli tak kira kecil atau besar, kesannya tetap ada. Ibu bapa kena sentiasa tanya anak-anak sebab sekolah tu dah jadi rumah kedua mereka. (Cadangan larangan penggunaan telefon pintar wajar kerana) pada usia itu, mereka patut fokus pada pelajaran dan keluarga.
“Media sosial boleh jadi tambahan, tapi bukan keperluan utama. Kalau terlalu awal, takut mereka terpengaruh dengan benda yang tak sihat,” kata pelantun yang terkenal dengan lagu Lebih Indah Berpisah itu ketika ditemui di Karnival Suara Semua 2025 di sini.
Selain mempertimbangkan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah 16 tahun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Jemaah Menteri turut menyarankan agar pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mempertingkat pemantauan keselamatan di sekolah.
Jemaah Menteri juga pada masa sama, turut mencadangkan agar kandungan pendidikan ditambah baik dengan sokongan ibu bapa serta Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengawal selain menerapkan nilai murni dan akhlak dalam kalangan pelajar.
Biarpun masih lagi dalam penelitian dan pertimbangan, Elizabeth Tan melihat cadangan itu termasuk langkah mengehadkan akses media sosial, dapat membentuk melahirkan generasi muda yang lebih sihat dari segi emosi.
“Di Australia, mereka ada undang-undang (berkaitan media sosial)… budak-budak bawah 16 tahun mereka (Australia) tak boleh ada media sosial. Kalau mereka dijumpai ada media sosial, ibu bapa akan dikenakan denda.
“Jadi, saya rasa undang-undang itu menarik, terutama pada masa depan kerana algoritma media sosial kian berbahaya. Katakan anda tonton satu video yang ganas dan anda ‘suka’ video itu, algoritma media sosial anda akan terus kongsikan dengan anda video sedemikian,” katanya.
Biarpun begitu, pelantun lagu Knock Knock! itu turut berpandangan akan pentingnya hubungan rapat antara ibu bapa dan anak bagi membolehkan mereka lebih terbuka berkongsi masalah tanpa rasa takut.- Bernama