KUALA LUMPUR: Aktiviti belian pada saat-saat akhir, terutama bagi saham-saham kewangan dan perladangan, memacu momentum Bursa Malaysia untuk mengakhiri dagangan hari ini dengan lebih positif, sekali gus menamatkan penyusutan dalam sesi awal.
Pada 5.00 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 1.55 mata atau 0.09 peratus kepada 1,615.64 berbanding paras 1,614.09, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.05 mata kepada 1,616.14 dan bergerak dalam julat 1,610.77 dan 1,617.78, hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 538 berbanding 537 manakala 519 kaunter lain tidak berubah, 862 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.24 bilion unit bernilai RM2.74 bilion berbanding 3.60 bilion unit bernilai RM3.30 bilion, semalam.
Seorang penganalisis berkata pembelian berterusan saham-saham perbankan jelas menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur susulan prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku ketiga 2024.
Saham-saham kewangan wajaran tinggi seperti Public Bank dan Maybank masing-masing naik empat sen kepada RM4.57 dan RM10.22, RHB menokok satu sen kepada RM6.58 manakala Hong Leong Financial menokok dua sen kepada RM18.50.
Dalam pada itu, CIMB Securities mengekalkan saranan “overweight” atau wajaran tinggi terhadap sektor perbankan dengan pemangkin penarafan semula berdasarkan keuntungan bon pendapatan bukan faedah dan kemungkinan peningkatan pertumbuhan pinjaman.
“Bagi tempoh suku September 2024, hampir semua pendapatan bersih tahunan bank adalah kukuh dan mengatasi unjuran setahun penuh kami.
“Petunjuk positif utama pada suku ketiga 2024 adalah daripada pendapatan bukan faedah yang mencatat peningkatan.
“Pendapatan bukan faedah pula meningkat 12.7 peratus suku ke suku dan 28.1 peratus tahun ke tahun yang melonjakkan pendapatan bukan faedah suku tahunan mencecah paras tertinggi baharu RM6.2 bilion, mengatasi julat RM4 bilion hingga RM5 bilion pada 2023,” katanya dalam nota tinjauannya hari ini.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menyifatkan pasaran saham tempatan kekal stabil hari ini selepas meningkat kukuh semalam ketika pasaran saham global utama di Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi.
“Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan kebimbangan mengenai dasar-dasar ekonomi Presiden dipilih Donald Trump bagi tahun akan datang selain prospek yang masih samar mengenai pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) memandangkan tarif boleh menjurus kepada peningkatan inflasi.
“Berikutan itu, sentimen pasaran tempatan dijangka kekal berwaspada,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi lain menyaksikan CIMB susut satu sen kepada RM8.19, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM13.60 namun IHH menambah tiga sen kepada RM7.33.
Cropmate yang baru disenaraikan kekal sebagai saham paling aktif yang menokok satu sen kepada 21 sen, Supermax melonjak 10 sen kepada 98.5 sen, JCY International meraih 1.5 sen kepada 50 sen, Bumi Armada menokok 2.5 sen kepada 62 sen dan MYEG meningkat setengah sen kepada 91 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 13.56 mata kepada 12,328.19, Indeks FBMT 100 naik 13.60 mata kepada 12,014.28 dan Indeks FBM 70 melonjak 28.43 mata kepada 18,265.54.
Indeks FBM Emas Shariah susut 2.37 mata kepada 12,304.14 dan manakala Indeks FBM ACE turun 20.49 mata kepada 5,244.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 59.30 mata kepada 19,193.02, Indeks Perladangan meraih 31.19 mata kepada 7,778.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Kewangan susut 0.81 mata kepada 175.32 dan Indeks Tenaga naik 3.08 mata kepada 820.56.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok 1.65 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 2.00 bilion unit bernilai RM3.04 bilion, semalam.
Selain itu, jumlah waran menguncup kepada 920.42 juta unit bernilai RM99.11 juta daripada 991.02 juta unit bernilai RM88.62 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 662.72 juta unit bernilai RM213.96 juta berbanding 604.62 juta unit bernilai RM174.58 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 241.52 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (251.56 juta), pembinaan (74.04 juta), teknologi (308.34 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (89.66 juta), hartanah (180.30 juta), perladangan (55.80 juta), REIT (14.80 juta), dana tertutup (8,600), tenaga (150.38 juta), penjagaan kesihatan (165.50 juta), telekomunikasi dan media (29.49 juta), pengangkutan dan logistik (51.18 juta), utiliti (45.50 juta), dan amanah perniagaan (36,700). – Bernama