
BINTANGOR: Belia merupakan aset terpenting Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, mereka bukan sekadar pewaris kepimpinan, tetapi juga rakan strategik dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Konsep Segulai Sejalai yang diilhamkan pimpinan kerajaan Sarawak dan diangkat tema oleh Perdana Menteri menjadi falsafah perpaduan dalam kepelbagaian.
“Walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama, kita tetap melangkah seiring dengan semangat tanggungjawab dan solidariti.”
“Semangat inilah yang diterapkan melalui program kembara agar belia berfikiran luas, berjiwa besar, dekat dengan masyarakat dan peka terhadap denyut nadi rakyat,” katanya.
Koung Hiing berkata demikian ketika berucap pada Program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025 bagi Daerah Meradong anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak di Rumah Rabaee, Sungai Gemuan, semalam.
Katanya, program tersebut mencerminkan semangat kebersamaan serta sokongan padu terhadap usaha memperkasa belia negeri.
Dalam pada itu, katanya, seramai 30 peserta, termasuk dari Semenanjung Malaysia dan Kalimantan ditempatkan bersama keluarga angkat bagi menimba pengalaman hidup bermasyarakat.
“Ia sekali gus merapatkan hubungan dengan komuniti kampung dan rumah panjang.
“Justeru, jadikan pengalaman kembara ini bekalan berharga untuk masa depan memperkukuh integriti, memperluas persahabatan dan memperhebat semangat perjuangan,” katanya lagi.
Beliau turut mengumumkan pemberian peruntukan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada ABIM Negeri Sarawak sempena program tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang; Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak, Muhammad Zhariff Azhari; Ketua Kampung Rabaee Mat dan wakil Exco Saberkas Cawangan Meradong, Abang Husen Abang Yusuf.
Oleh Earl Anek