
KUCHING: Suasana Kampung Mesra Bako menjadi lebih ceria apabila kumpulan sukarelawan antarabangsa ASEZ WAO melukis mural di Dewan Komuniti Taman Mesra Bako, baru-baru ini.
Aktiviti itu disertai kira-kira 40 ahli ASEZ WAO bersama penduduk tempatan, bertujuan memperindah persekitaran dan mewujudkan kawasan yang lebih bersih.
Ketua Kampung Mesra Bako, Muhammad Yusuf Jenal Abidin, hadir meninjau aktiviti berkenaan dan mengucapkan penghargaan kepada ASEZ WAO.

“Kami berterima kasih kerana ASEZ WAO sudi melawat Kampung Mesra Bako dan menjalankan aktiviti ini. Pada masa akan datang, kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dalam program-program lain,” katanya melalui sebuah kenyataan media, hari ini.
Para sukarelawan membersihkan dinding sepanjang 20 meter, membersihkan graffiti dan debu lama sebelum melukis mural yang menampilkan imej langit, awan, pokok dan bunga.
Projek yang bermula 9.00 pagi itu mengambil masa kira-kira lapan jam, menjadikan dinding yang dahulunya usang berubah menjadi pemandangan ceria dan menarik perhatian penduduk.

ASEZ WAO, singkatan daripada Save the Earth from A to Z dan We Are One Family, ialah kumpulan sukarelawan belia dari Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan.
Dalam pada itu, ASEZ WAO telah melaksanakan pelbagai inisiatif alam sekitar termasuk projek Green Earth dan Blue Ocean, kempen penanaman pokok Mother’s Forest, serta program Bebas Plastik 2040.

Di Malaysia, kumpulan ini turut mengadakan pembersihan di Pantai Lutong, Damai Plaza, Bandar Sunway dan Danau Kota, serta menanam 200 pokok di Taman Skudai, Johor Bahru.
Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan, sebagai organisasi induk ASEZ WAO, mempunyai lebih 7,800 cawangan di 175 negara. Dengan asas ajaran kasih dan sumbangan sosial, gereja ini telah menjalankan lebih 44,000 aktiviti termasuk bantuan bencana, derma darah, pendidikan dan perlindungan alam sekitar, serta menerima lebih 5,200 anugerah antarabangsa atas usaha mereka