

BINTANGOR: Pendekatan perancangan yang tersusun dan berimpak tinggi diyakini mampu memperkasa peranan belia sebagai pemacu pembangunan komuniti di Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata ia sekali gus memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
“Perancangan awal yang sistematik dan berfokuskan impak amat penting bagi memastikan setiap program belia yang dirangka bukan sahaja bersifat jangka pendek, malah mampu memberi kesan berpanjangan kepada pembangunan sosial serta kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
“Perancangan yang tersusun dan berimpak tinggi perlu diberi keutamaan supaya setiap program yang dilaksanakan dapat memberi manfaat secara langsung kepada golongan belia dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat perancangan program dan aktiviti Saberkas Cawangan Meradong bagi 2026 bertempat di Pusat Khidmat Meradong pada semalam.
Koung Hiing turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli Saberkas Cawangan Meradong atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang 2025 sehingga pelbagai program dan aktiviti berjaya dilaksanakan dengan baik.
Katanya, mesyuarat tersebut bertujuan merangka perancangan strategik serta menyelaras pelaksanaan program Seberkas Cawangan Meradong bagi 2026, khususnya yang melibatkan pembangunan kepimpinan belia, aktiviti kemasyarakatan, kebajikan serta usaha memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
“Saya menggalakkan ahli jawatankuasa agar terus proaktif, kreatif dan berani mengetengahkan idea baharu yang relevan dengan keperluan semasa, selain bekerjasama rapat bagi memastikan Saberkas Cawangan Meradong kekal relevan dan berperanan aktif dalam pembangunan sosial di kawasan ini.
Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai cadangan program telah dibincangkan merangkumi aspek kepimpinan belia, sukan dan rekreasi, aktiviti sukarelawan, latihan kemahiran serta program kemasyarakatan yang berteraskan semangat perpaduan dan kerjasama.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua; Setiausaha Saberkas Cawangan Meradong, Dominic Amor; Timbalan Setiausaha Saberkas Cawangan Meradong, Azmi Tambi dan Timbalan Bendahari Saberkas Meradong, Esther Jung.
Oleh Earl Anek