
PAKAN: Agenda pemerkasaan belia luar bandar terus diperkukuh apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, turun padang memimpin Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Borneo 2 di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), program tiga hari bermula 11 hingga 13 September tersebut berjaya menghimpunkan ratusan belia daripada pelbagai komuniti.
“Fokus utama program ini diberikan kepada penyertaan belia luar bandar, termasuk belia massa dan belia berpersatuan, bagi memperluas jaringan sosial, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam pembangunan komuniti di negeri Sarawak.
“Zon Borneo 2 merupakan siri ketiga daripada enam zon pelaksanaan Kembara JOM 2.0 yang berlangsung dari Julai hingga November 2025.
“Antara pengisian utama ialah sesi dialog awam bersama Timbalan Menteri, Program Anak Angkat, kesukarelawanan, program rentas budaya, kepimpinan belia, keusahawanan sosial, dan advokasi Nilai Teras Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, pendekatan keluarga angkat yang diperkenalkan dalam edisi kali ini telah memperkukuh semangat kekitaan, empati sosial serta persefahaman rentas kaum dan budaya.

“Kembara JOM turut berperanan sebagai platform pemprofilan belia luar bandar, galakan penubuhan persatuan baharu dan kajian sosioekonomi belia setempat.
“Input daripada program ini akan menjadi asas penting dalam merangka dasar serta strategi pembangunan belia negara,” katanya.
Tambahnya, program tiga hari tersebut turut memberi pendedahan kepada para belia mengenai kepentingan berorganisasi, aspek pengurusan pertubuhan dan latihan kemahiran.
“Selain itu, sesi dialog awam bersama beberapa pemimpin tempatan diadakan bagi mendengar suara, pandangan dan aspirasi golongan muda.
“Antara aktiviti lain yang dilaksanakan termasuk gotong-royong komuniti, penyerahan peralatan sukan, perkhidmatan kesihatan, pameran agensi kerajaan dan Sukan Perpaduan MADANI.
“Aktiviti tradisi ‘JOM Begiga Ngau Bala Raban Rumah Panjai (Menjala)’ melibatkan seluruh komuniti rumah panjang turut diadakan sebagai simbol kebersamaan, manakala aktiviti ‘JOM Futsal Bersama Belia’ pula menjadi platform santai mengeratkan hubungan silaturahim.
“Penganjuran Kembara JOM 2.0 Zon Borneo 2 ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).
“Sinergi ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang berstruktur dan bersepadu.
“KBS akan meneruskan siri Kembara JOM bagi memastikan suara anak muda akar umbi terus didengar, dihargai dan diterjemahkan dalam dasar berteraskan nilai-nilai MADANI,” tegas beliau.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Earl Anek