
SARATOK: Golongan belia perlu terus diperkasa menerusi program pembangunan yang mampu meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan jati diri bagi melahirkan generasi yang bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, usaha tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran Program Belia Bersama Masyarakat 1.0 anjuran Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) Krian yang berlangsung di Rumah Bakit, Engkala, Ulu Krian, pada Ahad.
Menurut beliau, program itu berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada golongan belia, Biro Wanita, tuai rumah, kaunselor serta penduduk dari beberapa rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah membuka ruang kepada belia untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan menimba ilmu daripada pelbagai agensi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Belia Bersama Masyarakat 1.0 yang diketuai oleh Ketua Pemuda PDP Krian, Riza Nalang.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program termasuk pertandingan tarik tali, menyumpit, karaoke serta ceramah daripada pelbagai agensi berkaitan.
Friday berkata, sesi ceramah yang disampaikan oleh wakil CENTEXS Betong memberi pendedahan kepada belia mengenai peluang latihan kemahiran yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan.
Selain itu, ceramah daripada Polis Diraja (PDRM), Klinik Kesihatan Nanga Budu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Saratok turut memberi kesedaran berkaitan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Program tersebut turut dihadiri Pengarah CENTEXS Betong, Dr Andrew Emparan, pegawai PDRM dari IPD Saratok, wakil Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Penghulu Anyom, para kaunselor serta tuai-tuai rumah.
Friday merakamkan penghargaan kepada Pemuda PDP Krian atas kejayaan menganjurkan program berkenaan, selain mengucapkan terima kasih kepada Tuai Rumah Bakit, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program itu.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta melahirkan belia yang berilmu, berkemahiran dan mampu menjadi pemimpin masa depan.
Turut hadir, rombongan Pemuda PDP Pusat yang diketuai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pemuda PDP Nasional, Conrad Robin.
Oleh Adi Safarman