SIBU: Generasi muda Sarawak perlu berani keluar daripada acuan lama dengan menjadikan pencipta pekerjaan dan teknologi baharu bukan sekadar pengguna bagi memastikan negeri ini terus berdaya saing dalam ekonomi global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan ekonomi dunia yang semakin pantas menuntut generasi muda menguasai ilmu, teknologi dan kemahiran baharu bagi mencipta peluang ekonomi berdasarkan kekuatan yang dimiliki Sarawak.
“Dalam kata lain, anda menciptakan pekerjaan baharu berdasarkan kekuatan kita dan berdasarkan kekuatan anda. Kita tidak boleh menjadi pengikut sepanjang masa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Sarawak ke-18 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak kini sedang beralih kepada ekonomi baharu berasaskan teknologi, termasuk tenaga bersih, pertanian moden, digital, semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi satelit.
Menurutnya, perubahan itu memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi supaya peluang pekerjaan dan kekayaan yang terhasil daripada pertumbuhan ekonomi negeri dapat dinikmati rakyat Sarawak sendiri.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak mengambil pendekatan menyediakan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan Sarawak sebagai antara usaha melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan membabitkan peruntukan kira-kira RM260 juta pada tahun pertama dan jumlah itu akan meningkat apabila lebih banyak pelajar menyertai program tersebut pada tahun-tahun berikutnya.

“Ini adalah tahun pertama kita beri pendidikan percuma, kos kepada kerajaan RM260 juta. Tahun depan kita masuk tahun kedua, kita perlu beri lagi RM260 juta untuk tahun pertama dan tahun kedua.
“Menjelang 2029, jumlahnya akan menjadi besar, tetapi insya-Allah kita mampu mengekalkannya dengan ekonomi yang memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya.
Abang Johari berkata, meskipun Sarawak telah diiktiraf sebagai ekonomi berpendapatan tinggi sejak 2022, kerajaan Sarawak tidak mahu kejayaan itu hanya dilihat berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.
Katanya, ukuran berkenaan merupakan purata dan tidak semestinya menggambarkan pendapatan sebenar isi rumah, terutama masyarakat di kampung dan rumah panjang.
“Kerja kita ialah menaikkan pendapatan orang kampung dan rumah panjang. Melalui pendidikan, apabila anak kita terlatih dan belia kita terlatih, masa depan kita akan lebih cerah,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi baharu juga perlu disokong teknologi moden dalam sektor pertanian bagi memastikan Sarawak mampu mencapai keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Katanya, teknologi pertanian moden berpotensi meningkatkan produktiviti tanah dan hasil tanaman, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar.
Pada masa sama, Abang Johari berkata, Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga bersih dengan memanfaatkan sumber seperti hidro, gas, solar dan biojisim, selain meneroka potensi hidrogen.
Beliau berkata, penguasaan teknologi dan kepakaran tempatan amat penting bagi memastikan Sarawak mampu memanfaatkan sumber semula jadi yang dimiliki untuk menjana nilai ekonomi lebih tinggi.
Abang Johari turut menegaskan bahawa Saberkas perlu memainkan peranan dalam menyediakan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran, tetapi turut memiliki integriti serta mampu mengambil alih kepimpinan negeri secara berperingkat.
“Orang berpengalaman akan menasihati orang muda dan orang muda pula mengambil alih memimpin, maka Sarawak akan terus maju.
“Karakter yang penting dalam kepimpinan ialah integriti. Kalau ada semangat integriti, kita dapat membentuk pemimpin yang baik,” katanya.
Beliau yakin masa depan Sarawak cerah berdasarkan kekuatan modal insan yang sedang dibangunkan, selain keberanian generasi muda untuk mengambil risiko yang telah dikira dan meneroka bidang ekonomi baharu.
Turut hadir Presiden Saberkas yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Presiden Saberkas yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Agong Saberkas yang juga ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad serta yang lain.
Oleh Akun Giman





