GIMIK PERASMIAN… Matthew Laing, Fredick Kevin, Venesa Joseph dan pemanca-pemanca meletakkan angka 10 tanda perasmian Jerayawara Ulang Tahun Ke-10 TEGAS.
MARUDI: Tanggungjawab Tabung Ekonomi Anak Sarawak (TEGAS) dalam membantu memajukan rakyat bukan saja terhad kepada memperkasakan Usahawan Digital, akan tetapi TEGAS melalui TEGAS “Community Innovative Learning (TCIL) membantu memperkembangkan bakat anak-anak muda melalui pendidikan STEM, MAKERS, TEVT dan “Innovative Thinking”.
Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau berkata, objektif utama TCIL adalah untuk membudayakan Digital Literacy dikalangan anak muda di negeri ini sekaligus mewujudkan Komuniti di dalam dan juga di luar bandar yang berinovasi digital seiring dengan usaha Kerajaan Sarawak iaitu melalui perkembangan bakat pelajar dalam pendidikan STEM dan TVET.
Justeru tegas beliau melalui ‘reachout’ yang telah dicapai TEGAS maka dapat disimpulkan 10 tahun perjalanan dan penggambaran TEGAS bersama rakyat Sarawak adalah suatu kejayaan yang amat membanggakan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Jerayawara Ulang Tahun Ke-10 TEGAS yang dilangsungkan di Dewan Suarah Marudi semalam.
Teks ucapannya dibacakan Pegawai Pendidikan Daerah Baram Matthew Laing Ngau yang mewakili beliau di majlis tersebut.
Dennis yakin dengan program-program TEGAS yang telah dirancang untuk masa yang akan datang dapat membantu rakyat Sarawak dalam menghadapi Industri 4.0 yang semakin menghampiri,
Dennis yang juga Ahli Lembaga Amanah TEGAS menekankan tentang kepentingan anak-anak muda untuk mengasah bakat dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.
Dalam pada itu beliau berkongsi matlamat dan visi TEGAS dan menyaran belia untuk menerapkan ilmu inovasi digital bagi mempertingkatkan daya saing mereka dalam menghadapi industri 4.0.
Sebagai contoh ujar Dennis, kawasan Ulu Baram yang penuh dengan tempat pelancongan bercirikan alam semula jadi yang menarik membolehkan belia di kawasan tersebut untuk merebut peluang dalam menceburi industri pelancongan.
“Saya sering mengingatkan kepada belia kita untuk mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dalam bidang pelancongan disertakan dengan kemahiran inovasi digital,” katanya.
Kemahiran ini ujarnya adalah termasuk pengendalian drone untuk mengambil video keindahan alam semula jadi Ulu Baram yang dapat dijadikan medium promosi pelancongan.
Sehubungan itu tegasnya kemahiran inovasi digital dapat melahirkan anak muda Ulu Baram di masa akan datang untuk mencipta aplikasi yang memudahkan tempahan Inap Desa dan pakej lawatan yang menarik.
“Penggunaan virtual reality untuk mempromosikan Ulu Baram juga dapat diperkenalkan kepada pelancong terutama dari luar Negara,” tegasnya.
Tambah Dennis ilmu inovasi digital akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri pelancongan, malah juga kepada ekonomi penduduk tempatan di mana semua ini dapat dicapai bersama melalui program-program STEM yang dianjurkan TEGAS.
Turut hadir ialah Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning, Fredick Kevin Buseli, Pemanca Randie Bundan, Pemanca Jamel Haji Sabil, Pemanca Wong Kiong Ching, SAO Vannesa Joseph, Ketua-Ketua Kaum, warga pendidik, ibubapa dan pelajar-pelajar sekolah.
Oleh JIKU JUGUONG