SIMANGANG: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis mengimpikan anak-anak dan belia di Simanggang berjaya di dalam bidang sukan hingga peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata akan sedaya upaya memberi sokongan moral dan apa-apa bantuan terutamanya belia agar golongan itu tidak akan ketinggalan serta menaikkan nama Simanggang dalam pelbagai bidang sukan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Setiap belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang diseru untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan bagi menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang sukan yang diceburi.
“Ambil peluang ini sebagai batu loncatan untuk mengasah bakat anda, agar anda menjadi atlet yang berkebolehan bagi mewakili daerah, negeri ataupun negara satu hari kelak seperti atlet-atlet sukan lain yang telah membanggakan nama negara masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Pertandingan Bola Tampar Sri Aman 2020 Piala Datuk Francis Harden Hollis di Mini Stadium semalam.
Pertandingan itu telah melibatkan sebanyak 10 buah pasukan lelaki dan lima pasukan wanita yang telah berentap selama tiga hari untuk merebut kejuaraan.
Justeru itu, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang begitu yakin dan percaya satu hari nanti bandar Simanggang akan melahirkan ramai atlit-atlit yang berjaya diperingkat sukan yang berprestij tinggi seperti SUKMA, Sukan SEA, Sukan Olimpik dan sebagainya.
“Saya berharap kita bersama-sama menjadikan bandar Simanggang ini sebagai salah sebuah daerah yang akan membekalkan negara kita dengan atlit-atlit yang cemerlang di pelbagai peringkat,” ujarnya.
Harden berkata penganjuran sukan bola tampar mahupun bola keranjang di daerah ini mampu menjadi platform melahirkan pelapis dalam sukan berkenaan serta dapat memberikan pendedahan serta meningkatkan kemahiran dalam sukan tersebut yang semakin popular dewasa ini.
Menurutnya, melalui acara seumpama itu dan pendedahan terhadap sukan tersebut, beliau yakin suatu hari nanti kita bakal mempunyai pelapis yang hebat seterusnya mewakili Simanggang mahupun negeri atau Malaysia dalam sukan bola tampar.
Terdahulu Harden turut menyumbangkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Chung Hua Volleyball Club Simanggang bagi menganjurkan pertandingan terbabit.
Oleh ADI SAFARMAN