Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Belia digesa rebut peluang pendidikan tinggi dalam bidang STEM
  • PENDIDIKAN

Belia digesa rebut peluang pendidikan tinggi dalam bidang STEM

Utusan Sarawak 4 weeks ago
SIMBOLIK… Wong Ching Yong (tengah) semasa melakukan simbolik perasmian Sambutan Pesta Tanglung anjuran Pemuda SUPP Dudong di pekarangan Farley, malam tadi.

SIBU: Golongan belia digesa agar merebut peluang melanjutkan pendidikan tinggi yang disediakan oleh kerajaan negeri, dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerajaan Sarawak memberi penekanan yang besar terhadap pembangunan pendidikan belia kerana ia merupakan faktor penentu kejayaan masa depan negeri.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, ekonomi negeri akan berkembang pesat dengan adanya pembangunan tenaga alternatif, petroleum, gas asli dan industri baharu. Semua ini memerlukan bakat muda yang berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi SUPP Dudong, Wong Ching Yong pada Sambutan Pesta Tanglung anjuran Pemuda SUPP Dudong di pekarangan Farley, malam tadi.

Menurut Ding, walaupun pendidikan masih di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Sarawak mengambil langkah menubuhkan universiti dan sekolah antarabangsa sendiri demi masa depan generasi muda.

“Bermula tahun hadapan, universiti milik Sarawak akan menawarkan pengajian percuma kepada anak-anak Sarawak, sama ada daripada aliran sekolah menengah kebangsaan atau persendirian, khususnya dalam bidang STEM,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan belia agar tidak melepaskan peluang untuk menyambung pengajian di universiti negeri serta menimba kepakaran sebelum kembali berbakti kepada tanah air.

Mengulas isu pelajar cemerlang STPM yang tidak mendapat tempat di universiti awam baru-baru ini, Ding menegaskan bahawa universiti milik kerajaan negeri tidak akan membiarkan pelajar berpotensi diketepikan.

“Sarawak mahu memastikan tiada bakat muda tercicir hanya kerana masalah bias pengambilan pelajar di peringkat pusat.

“Saya yakin bahawa belia Sarawak mampu bersaing dengan generasi muda di mana-mana bahagian lain di Malaysia,” ujarnya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat delegasi Unimas
Next: 700 murid sertai pameran antidadah di SK Lambir Village

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.