
BINTULU: Golongan belia di Jepak disarankan agar mengambil peluang mengikuti latihan vokasional sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kemahiran teknikal dan meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor industri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pendekatan itu bukan sahaja menjanjikan masa depan lebih terjamin kepada anak muda, malah menyokong agenda pembangunan tenaga kerja mahir negeri ini.
“Kerjasama telah dijalinkan dengan institusi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Kolej Vokasional untuk menawarkan latihan teknikal.
“Belia yang mengikuti program ini berpeluang mendapat pekerjaan sebaik tamat latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ngabang Gawai di Rumah Joshua Manit, Sungai Setiam, KM36 Jalan Bintulu-Tatau di sini, hari ini.
Tambahnya, usaha itu diselaraskan oleh Ketua Pemuda PBB N67 Jepak, Frankey Sibat bagi memastikan lebih ramai belia tempatan mendapat akses kepada program latihan yang ditawarkan.
“Saya menyeru anak muda termasuk anak cucu dan cicit penduduk di sini agar bijak merebut peluang ini demi menjamin masa depan yang lebih baik,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Iskandar turut mengajak biro wanita rumah panjang untuk terus berganding bahu dengan Ketua Wanita PBB N67 Jepak, Noriha Ali dalam memperkasa ekonomi digital dan pembangunan Agro Park di kawasan tersebut.
“Langkah ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang kepada komuniti luar bandar dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi tempatan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih