
KOTA SAMARAHAN: Golongan belia luar bandar perlu berani melangkah ke hadapan dan yakin menghadapi cabaran kerana masa depan negara bergantung kepada kekuatan serta semangat mereka.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, generasi muda luar bandar merupakan aset penting negara yang perlu dibimbing agar mampu berdikari serta menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan belia luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara kerana mereka juga merupakan nadi dan pemangkin kemajuan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Mini Ekspo Kemahiran Remaja (MEKAR) dan Motivasi Desa (MODE) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Kota Samarahan 2025 yang berlangsung di Dewan SMK Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, program berkenaan menjadi platform penting dalam membina jati diri, meningkatkan keyakinan diri dan mencungkil potensi pelajar luar bandar supaya bersedia menghadapi dunia sebenar.
“MEKAR dan MODE merupakan sebahagian daripada 28 siri program yang dilaksanakan di seluruh negara, dengan Sarawak menjadi tuan rumah kepada dua siri iaitu di Kota Samarahan dan Batang Sadong.
“Usaha seperti ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan belia luar bandar melalui pengisian yang menekankan pembangunan sahsiah, kemahiran dan nilai kepimpinan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur semata-mata, tetapi turut menitikberatkan pembinaan modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini,” katanya memetik pesanan Saidina Ali R.A sebagai peringatan bahawa belia ialah cerminan masa depan negara.
Beliau berharap program seperti MEKAR dan MODE dapat diteruskan sebagai wadah melahirkan generasi muda desa yang yakin, berdaya saing dan menjadi kebanggaan Malaysia.
Program anjuran KEMAS Parlimen Kota Samarahan dengan kerjasama KEMAS Sarawak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan SMK Kota Samarahan itu turut disertai pelajar dari beberapa sekolah sekitar Samarahan.
Antara pengisian utama termasuk ceramah peluang kerjaya, sesi motivasi bertemakan ‘Mula Dengan Diri Sendiri’, ceramah kenegaraan serta demonstrasi kraftangan dan pendedahan kepada peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh KEMAS.
Oleh Masrin Affirah