LANGKAH Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan meminda Perlembagaan parti itu bagi mewujudkan sayap baharu buat golongan belia berumur antara 18 hingga 28 tahun adalah salah satu tindakan penting.
Presiden PBB, selaku Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg, membuat keputusan itu selepas mendapat mandat terbesar dalam sejarah landskap politik Sarawak. Hal ini bermakna meskipun menang besar, kepimpinan Abang Johari tetap menyediakan persekitaran politik yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran mendatang dalam politik.
Melalui penglibatan belia 18 hingga 28 tahun dalam politik belia dijangka akan dapat membuka ruang barisan lapisan kepimpinan masa depan dengan mengambil kira usia kepimpinan pemuda sehingga 40 tahun. Yang bermakna, kalau dahulu barisan pemuda dan wanita negeri dilihat golongan pelapis untuk generasi dewasa, belia 18 tahun hingga 28 tahun pula dilihat sebagai pelapis kepimpinan pemuda dan wanita PBB. Hal ini membawa implikasi bahawa terdapat dua lapis kepimpinan yang disediakan oleh PBB untuk memastikan parti tersebut tidak ketandusan kepimpinan yang berkelayakan.
Rasional
Rasional Abang Johari adalah, penubuhan sayap itu dibuat bagi memberi peluang kepada golongan terbabit bersama-sama berkhidmat ke arah kesejahteraan negeri. Selain itu, beliau berharap dengan adanya sayap tersebut agar dapat kelompok belia dilibatkan untuk sama-sama menguruskan masyarakat secara bersama. Sikap terbuka beliau kepada pelapis muda juga kerana mahu memastikan dapat mendengar aspirasi golongan muda untuk disesuaikan dengan situasi politik semasa. Pindaan Perlembagaan ini dijangka akan dilaksanakan pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) parti yang dijadual diadakan pada pertengahan tahun ini.
Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan parti sudah ada sayap belia yang dimasukkan dalam sayap pemuda parti. Parti lain seperti PKR, misalnya melalui Angkatan Muda mereka menggalakkan anak-anak muda pada usia awal belia terlibat dalam politik, malah kelompok mereka juga banyak diberikan peluang untuk bertanding pada pilihan raya. Namun, sesuai dengan budaya politik Sarawak, keterlibatan belia seawal umur 23-28 tahun agak jarang-jarang diketengahkan kerana lebih banyak memberikan peluang dan ruang kepada pemimpin kanan untuk menjadi wakil rakyat.
Apabila undi muda mula diluluskan pada Disember 2021, maka, PBB bergerak tiga langkah ke hadapan untuk persediaan yang lebih bagi menyantuni undi 18 tahun ke atas. Hal sedemkian ini memastikan pengundi 18 tahun benar-benar dapat diberikan ruang sewajarnya bagi menyediakan diri mereka literasi politik yang lebih baik, menyediakan diri dengan latihan kepimpinan dan memastikan undi 18 tahun ke atas akan terus bersama PBB dalam wadah politik.
Situasi ini sesuai juga untuk merebut peluang dan menerokai potensi belia pada peringkat awal usia yang mahukan kehidupan yang lebih aktif dalam pelbagai segi, bukan sahaja dalam fokus kepada keperluan akademik dan dunia pekerjaan.
Keseimbangan Akademik
Apabila diberikan ruang untuk terlibat dalam politik, tidak bermakna fokus kepada melanjutkan pengajian tinggi akan diabaikan. Sebaliknya ia menjadi penambah nilai anak muda dalam kehidupan dunia pembelajaran. Penglibatan seawal usia 18 tahun perlu dilihat berfungsi sebagai aktiviti ‘ko-kurikulum’ tambahan mereka sebagai pelengkap kehidupan belia. Penyertaan mereka dalam dunia politik bukanlah sepenuh masa atau 24 jam, sama juga seperti keterlibatan mereka dalam dunia lain. Keseimbangan terhadap segala aspek bidang lapangan kehidupan adalah penting bagi melahirkan belia yang serba boleh, berketrampilan, bijaksana dalam pendidikan akademik dan dapat terdedah dengan dunia politik awal.
Apabila usia 18-23 dapat dijadikan satu kluster awal belia, maka isu-isu peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diperhalusi. Begitu juga mengenai penegasan dalam pendidikan sains dan teknologi, teknikal, sains sosial dan kemanusian akan dapat diberikan maklum balas dari aspek kandungan, kesesuaian dan keperluan sebenar kalangan anak muda. Isu kemudahan mendapatkan biasiswa, kebajikan dan keperluan belia di peringkat pendidikan tinggi juga dapat disampaikan melalui saluran parti agar segala permasalahan yang dihadapi dapat disantuni dengan lebih baik. Belia mampu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan tanpa ada pihak ketiga.
Namun, berdasarkan pengalaman negara maju seperti Perancis yang menggalakkan penglibatan politik belia pada usia 18-25 tahun hal sedemikian ini agak mencabar. Hanya 3:10 belia yang mahu terlibat dalam politik, walaupun terdapat belia yang mempunyai literasi politik tinggi sudah bertanding dalam pilihan raya tempatan seawal usia 18 tahun dan 23 tahun. Jurang literasi politik ini perlu dirapatkan apabila melihat pengalaman negara Perancis yang merupakan negara maju dalam bidang politik.
Kerjaya dan Politik
Sudah pasti pada usia 24-28 tahun pula, belia lebih banyak tertumpu kepada pembinaan kerjaya masing-masing. Hal ini akan menyebabkan fokus kepada politik menjadi kurang. Namun, pada peringkat usia ini, kepimpinan politik belia sudah dapat dikenal pasti daripada kalangan yang berbakat besar untuk diketengahkan. Tidak semua peringkat usia ini akan memfokuskan politik sepanjang masa. Tumpuan masa yang seimbang, pembahagian fokus politik dan kerjaya seiring dapat melahirkan belia yang dapat membahagikan masa dengan lebih baik.
Manfaat pada usia ini terlibat dalam dunia politik adalah mereka dapat memberikan maklum balas dengan lebih baik berkenaan isu-isu yang melanda kelompok mereka.
Isu seperti peluang pekerjaan yang lebih baik, kadar gaji yang lebih munasabah dalam konteks kelulusan mereka, masalah untuk membeli rumah pertama mereka dan keperluan-keperluan kelompok mereka yang perlu disantuni akan lebih cepat disampaikan kepada kepimpinan parti tertinggi untuk dirumuskan dalam bentuk pembinaan dasar yang lebih baik. Situasi ini akan mempercepatkan proses pelaksanaan keperluan pembangunan kalangan belia yang disasarkan.
Berdasarkan manfaat kepada penglibatan belia dalam kelompok tersebut bermakna keperluan mereka dapat didahami dan disantuni dengan lebih jelas, sesuai dengan pembangunan dan keperluan yang lebih menyeluruh yang memastikan setiap lapisan tidak dipinggirkan, sesuai dengan konsep keterangkuman. Strategi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu sebagai tulang belakang GPS, sentiasa memberikan contoh terbaik dan ke hadapan.
Sewajarnya, parti komponen GPS yang lain (Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Progresif Demokratik) perlu mengambil langkah sama seperti PBB jika mahu menjadi parti politik yang kekal relevan pada masa akan datang.
* Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)