
SIBU: Generasi muda digesa terus memainkan peranan aktif dalam kesinambungan ajaran Buddha agar ia kekal segar dan bertenaga seiring perubahan zaman.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau berkata, belia dilihat sebagai golongan yang penuh kreativiti dan semangat untuk menjadikan ajaran Buddha sentiasa segar dan bertenaga.
“Setiap aktiviti adalah peluang untuk belajar dan berkembang. Melalui penglibatan secara langsung, pendidikan Buddha dapat diserap ke dalam kehidupan seharian, sekali gus mendidik kita menghayati makna sebenar ajaran ini dalam perkhidmatan dan amalan, sambil memupuk sifat belas kasihan dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Kebangsaan Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) 2025 di bangunan Persatuan Buddhist Sibu, hari ini.
Ahli Parlimen Lanang itu berkata, masyarakat kini berdepan perubahan pantas, khususnya generasi muda yang sering menghadapi pelbagai cabaran dan ketidakpastian.
“Justeru, kebijaksanaan ajaran Buddha amat diperlukan sebagai panduan untuk memperbaiki hati manusia, sekali gus menyelesaikan pelbagai masalah sosial,” ujarnya.

Selain itu, katanya, perkembangan teknologi dan media sosial turut menjadi saluran penting dalam memperluaskan penyebaran ajaran Buddha, terutama kepada golongan muda.
“Penggunaan aplikasi mudah alih dan platform digital boleh menjadikan pembelajaran ajaran Buddha sebagai satu pengalaman rohani yang menggembirakan,” ujarnya.
Lau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan MADANI yang sentiasa menghargai kepelbagaian agama di Malaysia serta menyokong penganjuran aktiviti keagamaan oleh pelbagai pertubuhan masyarakat.
“Sejak 2023 hingga kini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai dana penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam. Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian agama dan kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya lagi.
Beliau menambah, sejak merdeka, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama telah hidup harmoni dengan saling menghormati kepercayaan masing-masing.
“Generasi hari ini harus meneruskan semangat persahabatan, saling memahami serta bekerjasama demi sebuah negara yang lebih bersatu padu,” tambahnya.
Turut hadir, Pembantu Khas Ahli Parlimen Sibu Irene Wong, Presiden YBAM Yong Kuei Yoong dan Naib Presiden YBAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Sarawak Yee Yin Kit.
Oleh Akun Giman