BELI EMAS… Tinjauan Jurugambar Utusan Sarawak mendapati orang awam mula membanjiri kedai emas Al-Aqsa
di Majma Mall seawal 9.00 pagi untuk membeli barang kemas sebagai aksesori menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada 3 Mei depan. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Pemilik kedai emas di sekitar Bandar Raya Kuching tidak ‘menang tangan’ apabila diserbu orang ramai yang mengambil peluang membeli barangan kemas susulan tidak lama lagi menyambut Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati kedai emas di sekitar bandar raya ini, mula dipenuhi pengunjung seawal 9.00 pagi bagi mendapatkan koleksi barangan kemas yang diidamkan mereka untuk digayakan pada Syawal kelak.
Ada juga kedengaran, ‘kesibukkan’ itu mungkin disebabkan segelintir pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah menerima wang pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000. Mengambil kesempatan membeli emas dengan wang tersebut ketika harga emas dilaporkan amat berbaloi untuk dibeli.
Begitupun, keterujaan pengunjung untuk membeli emas menyebabkan sebahagian besar mereka mengabaikan penjarakan sosial terutama ketika berada di kedai yang agak kecil walaupun masing-masing dilihat memakai pelitup muka.
Seorang pengunjung, Amirah Abu Hassan, 26, berkata, dia datang bersama dengan suaminya melihat barang kemas dan akan membelinya sekiranya berkenan, selain jika harga mengikut bajetnya.
“Sebagai peminat emas, saya sudah menjangka situasi di kedai emas padat dengan pengunjung hari ini.
“Memang keadaan agak padat dan saya perlu menunggu hampir 30 minit untuk melihat koleksi barang kemas di sini memandangkan premis ini dipenuhi orang ramai,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Noor Baizura Omar, 39, berkata, dia lebih gemar membeli barang kemas di kedai berbanding secara dalam talian bagi mengelakkan caj tambahan yang dikenakan oleh penjual dalam talian.
“Saya tahu harga emas turun sekarang tetapi selepas meninjau di beberapa kedai saya dapati di sini menawarkan harga yang lebih murah.
“Saya memang suka simpan barang kemas sebagai aset, jadi bila tahu harga emas turun, saya akan dapatkan dengan segera barang kemas yang dihajati,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO