




BEKAS Naib Canselor Unimas, Profesor Emeritus Datuk Dr Yusuf Hadi, 74, kembali ke rahmatullah pada tanggal 25 April 2025 bersamaan 26 Syawal 1446H.
Namun, namanya terpahat dalam sejarah sebagai warga Sarawak yang pertama dilantik mengetuai sebuah universiti dalam negara ini pada ketika itu.
Namanya memang tidak asing lagi dalam kalangan warga pendidik.
Anak watan dari Kampung Rajang, Daerah Tanjung Manis, ini lahir pada 15 Jun 1950. Sewaktu muda, beliau banyak menghabiskan masa untuk menuntut ilmu.
Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Abang Galau Rajang dari 1962 hingga 1967. Beliau telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Three Rivers Mukah, setelah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ‘Common Entrance’ dan seterusnya ke Tingkatan Enam di Kolej Tanjong Lobang, Miri (sekarang dikenali sebagai Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang) pada 1968.
Berbekalkan kecekalan hati yang kuat, langkah Yusuf Hadi semakin panjang untuk menimba ilmu dengan melanjutkan pengajian di University of Hawaii, Honolulu di bawah program East-West Centre dengan biasiswa dari Malaysia dan Amerika Syarikat bagi jurusan ljazah Sarjana Muda dalam bidang biologi.
Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat ljazah Sarjana Sains Perhutanan di University of Yale, New Haven, Connecticut AS pada 1975. Beliau menerima gelaran Profesor Madya pada 1987 manakala gelaran Profesor pada tahun 1996.
Menurut Persada iaitu risalah terbitan dalaman Unimas, pada usia 26 tahun, beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang pensyarah di Fakulti Perhutanan UPM, Serdang, selepas bergraduat.
Kredibiliti yang ditonjolkan melayakkan beliau memegang jawatan sebagai Dekan fakulti dalam dua tahun kemudiannya pada usia muda mencecah 28 tahun.
Seterusnya, pada 1979, beliau diberi biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam jurusan Perancangan Pengurusan Hutan di University of British Columbia, Vancouver, Canada.
Sekembalinya ke tanah air, beliau dilantik untuk mengetuai Jabatan Perhutanan di UPM cawangan Sarawak di Semenggok selama dua tahun.
Selepas itu, beliau berpindah semula ke kampus induk UPM di Serdang dan dilantik menjadi Ketua Jabatan Pengurusan Hutan pada 1985, diangkat menjadi Timbalan Dekan (1987) dan Dekan (untuk kali kedua) pada 1991.
Yusuf Hadi juga pernah dipinjamkan untuk bertugas di Jabatan Perhutanan Sarawak selama dua tahun selepas beliau kembali bercuti sabatikal sebagai Profesor Pelawat di Michigan State University, East Lansing, AS.
Menurut terbitan Persada lagi, melihat kepada pengalaman dan pengetahuan yang ada pada Yusuf Hadi, menarik minat Unimas untuk mendapatkan khidmat beliau untuk membantu universiti ini yang ketika itu dilihat masih ‘muda’ jika dibandingkan dengan institusi pengajian tinggi awam lain di negara ini.
Pada 1993, Yusuf Hadi telah dilantik memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pembangunan Pelajar).
Paling mengagumkan, beliau antara barisan individu yang bertanggungjawab melaksanakan pembangunan akademik dan pembangunan pelajar seperti yang tergaris di dalam ‘ Buku Pokok’ – sebuah dokumen asas kepada strategi pembangunan Unimas.
Beliau turut memberi sumbangan dalam hal-hal berkaitan pembangunan sumber manusia di universiti ini.
Yusuf Hadi telah dilantik sebagai Naib Canselor Unimas kedua menggantikan Profesor Emeritus Dato’ Dr Mohamad Zawawi Ismail bermula 1 Ogos 2002 hingga 31 Julai 2004.
Pelantikan ini meletakkan beliau dalam sejarah sebagai warga Sarawak yang pertama dilantik mengetuai sebuah universiti dalam negara ini pada ketika itu.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menggandakan usaha memastikan pembangunan dan kecemerlangan universiti ini dalam menggapai visi dan misi yang telah dimatlamatkan.
Beliau dikenali sebagai ikon pendidik yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan akademik mahupun kesarjanaan universiti tetapi juga ikon yang prihatin dengan kebajikan warga universiti.
Buktinya menurut Persada lagi, dapat dilihat dalam Laporan Tahunan 2001 dan 2004 yang membukukan tentang aktiviti pembangunan di Unimas pada tahun tahun beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor.
Sebaik menamatkan sebagai Naib Canselor Unimas, Yusuf Hadi meneruskan khidmatnya sebagai tenaga pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) Unimas sehingga bersara wajib pada 2006 dan sebagai Profesor kontrak sehingga 2009.
Meskipun telah bersara, khidmat Yusuf Hadi masih diperlukan apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa badan berkanun dan bukan berkanun antaranya di Sarawak Forestry Corporation Sendirian Berhad (SFCSB), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), PUSAKA-KTS Forest Plantations Berhad, Majlis Islam Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan Pengurusan Mineral Sarawak.
Atas sumbangan dan jasa dalam pembangunan dan pendidikan negara serta perkhidmatan cemerlang yang ditonjolkannya, Yusuf Hadi telah dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran “Datuk” oleh kerajaan negeri Sarawak pada 2002.
Sebelum itu, beliau juga pernah dianugerahkan Pingat Johan Mangku Negara (JMN) (1997) oleh Kerajaan Persekutuan dan Johan Bintang Kenyalang (JBK) oleh kerajaan Sarawak (1998).
Beliau turut menerima anugerah Pingat Peringatan Delima (gangsa) pada 2003 dan Pingat Perkhidmatan Setia pada 2006.
Pada 2018, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan dan jasa beliau dalam pembangunan pendidikan di Unimas.
Sejak kebelakangan ini, Allahyarham juga aktif membantu dari segi input untuk Kamus Melanau Kuala Rajang.
Difahamkan, Allahyarham sepatutnya hadir untuk jamuan tengah hari selepas solat Jumaat bersama beberapa bekas pelajar SMK Three Rivers Mukah di hotel Samudra di Kuching hari ini. Jamuan itu turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Wahab Dolah yang juga alumni sekolah berkenaan.
Alfatihah!
Oleh Kadir Dikoh