
SIBU: Belanjawan Sarawak 2026 yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi bakal menjadi antara belanjawan paling progresif dan terbaik di Malaysia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berwawasan jauh serta berani memperkenalkan dasar dan inisiatif baharu untuk kemajuan negeri.
“Dalam dua atau tiga minggu lagi, Dewan Undangan Negeri akan bersidang, dan saya benar-benar percaya Premier Sarawak akan mengumumkan belanjawan yang sangat menarik untuk 2026 iaitu lebih progresif dan mungkin yang terbaik antara semua negeri di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Segulai Sejalai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Rakan Strategik Zon Tengah 2025 di hotel di sini, semalam.
Menurut beliau, rekod prestasi kewangan Sarawak yang kukuh dalam tiga tahun kebelakangan ini membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak.
“Kalau Premier Sarawak ini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat bernama Sarawak Incorporation atau Sarawak Berhad, saya yakin Sarawak boleh disenaraikan di pasaran saham,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata Unit Komunikasi Awam Sarawak akan memantau dan menilai prestasi setiap unit komunikasi di kementerian serta agensi kerajaan negeri mulai tahun hadapan bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih cepat, tepat dan berkesan.
Beliau berkata langkah itu sejajar dengan hasrat Premier Sarawak untuk memastikan komunikasi kerajaan negeri diurus secara profesional dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Premier amat menitikberatkan perkara ini kerana ada kementerian yang aktif dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, namun ada juga yang perlu lebih proaktif,” katanya.
Oleh Tarani Lanting