KUCHING: Belanjawan Sarawak 2023 yang bertemakan ‘Sarawak Didahulukan: Ke Arah Masyarakat Yang Inklusif, Makmur dan Harmoni’, digubal berlandaskan lima prinsip, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pertama, membangunkan ekonomi yang lebih teguh, berdaya saing dan saksama.
Kedua, kerajaan negeri akan membina Sarawak sebagai sebuah negeri berdaya saing dan berdaya tahan.
Ketiga, kerajaan negeri akan mewujudkan masyarakat pintar yang disokong oleh teknologi digital, pengetahuan dan inovasi.
Keempat, kerajaan negeri akan terus memupuk masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan penyayang di mana usaha kerajaan tidak akan melupakan sesiapa pun.
Kelima, kerajaan negeri akan terus merancang ke hadapan untuk kemampanan fiskal bagi memastikan keselamatan masa depan untuk anak-anak dan cucu serta generasi selepas ini.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan usul Belanjawan Sarawak 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Abang Johari berkatra, strategi fiskal negeri meneruskan pendekatan seimbang dengan menguruskan hutang secara berhemat, mengurangkan defisit disebabkan oleh perbelanjaan Covid-19, sambil membina semula dan menggiatkan semula ekonomi.
“Selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS-2030), Belanjawan Sarawak 2023 dirangka merentasi 11 teras strategik bertujuan untuk memacu ekonomi negeri ke arah pertumbuhan lebih tinggi dan pembangunan yang dipercepatkan.
“11 teras strategik tersebut adalah untuk mencapai kemakmuran ekonomi, merangsang pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan pembangunan perusahaan, mengubah Sarawak kepada ekonomi berdaya saing, membangunkan modal insan.
“Selain itu, mempercepatkan penggunaan digital dan penggunaan data, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar, pemantapan kebajikan masyarakat, mempertingkatkan kebudayaan, sukan dan pembangunan belia, mempromosikan penyelidikan dan pembangunan, sains dan teknologi dan inovasi serta meningkatkan kapasiti kerajaan negeri dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Dengan berpaksikan kepada 11 teras strategik ini, katanya, pelan pemulihan ekonomi negeri di bawah Belanjawan Sarawak 2023 akan memberi tumpuan kepada mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan momentum pemulihan, merangsang pelaburan swasta, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan, dan membina lebih berdaya saing dan menjana pendapatan ekonomi.
Oleh NUR AIN OTSMAN