PADA 11 Februari 2022 telah diumumkan bahawa Sabah dan Sarawak secara rasmi diiktiraf sebagai rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia apabila pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan atau dikenali sebagai Akta Perlembagaan (pindaan) 2022 (Akta A1642) telah diperkenan Yang Dipertuan Agong. Akt aini memberikan kedudukan Sabah dan Sarawak di negara ini selaras dengan aspek yang dinyatakan dan dicadangkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengisitiharan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah merupakan kejayaan besar, walaupun yang lebih besar agar lebih baik Sarawak berstatus’negara’ yang lebih besar dan luas. Apa pun, keputusan tersebut, sesuai dengan Sarawak dan Sabah yang diuar-uarakan berstatus wilayah, ia perlu diseiringkan dengan pembangunan yang lebih, peruntukan yang lebih luas dalam konteks belanjawan 2023 terhadap Sabah dan Sarawak.
Status Wilayah
Pengumuman status Wilayah perlu membawa faedah kepada rakyat Sarawak dan kesan yang dapat dirasaikan, dinikmati dan melimpah hingga ke rakyat biasa. Sudah pasti, misalnya perlunya usaha jihad kemiskinan terhadap isu kemiskinan Sarawak yang dikategorikan sebagai negeri ketiga miskin selepas Kelantan dan Sabah sebagamana laporan statistik rasmi negara. Ia berpunca daripada ketidaksamaan dan pembangunan yang tidak seimbang di seluruh negara dari segi kekayaan, pendapatan, pendidikan dan infrastruktur.
Maka perlu data yang lebih tepat, mudah diakses sentiasa dikemaskini agar segala permasalahan dapat ditangani dan dikenal pasti. Seterusnya keperluan sebenar penduduk dapat dirumuskan dan diperincikan aspek perancangan dan tindakan.
Tindakan bersepadu perlu disegerakan dan masalah yang perlu ditangani ialah perlunya peruntukan yang lebih besar bagi memastikan isu kemiskinan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Terdapat 30 lokaliti telah dikenal pasti sebagai kemiskinan tegar oleh kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Maka, sebagai negeri yang diiktiraf sebagai berstatus wilayah, Sabah dan Sarawak diiktiraf oleh persekutuan sejak awal tahun ini, maka amat wajar perlu diikuti dengan pertambahan bajet berganda sesuai dengan status baharu tersebut. Sarawak dan Sabah kini berstatus wilayah akan hanya dianggap retorik apabila peruntukan belanjawan tidak ada peningkatan besar diserlahkan.
Gandakan Belanjawan
Secara keseluruhannya kerajaan persekutuan perlu menggandakan bajet untuk seharusnya membantu Sarawak dan Sabah menjadi sebuah negeri berstatus maju pada 2030 dan berkuasa ekonomi digital. Mekanisme khusus yang sesuai diaplikasikan terhadap Sarawak dan Sabah terutama dalam aspek menangani kenaikan kos sara hidup ketika ini ialah bantuan bersasar untuk kelompok B40 dan pada masa yang sama tidak meminggirkan golongan kelas menengah yang memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan. Misalnya meningkatkan bantuan dan inisiatif melalui TERAJU dan geran inisiatif agensi kerajaan yang lain. Maknanya, setiap lapisan masyarakat mendapat limpahan yang sama dalam bentuk yang berlainan agar kemajuan ekonomi Sarawak dapat dipertingkat.
Dari aspek pembangunan infrastruktur pula, perlu segera peruntukan lebih besar Sarawak dilihat masih memerlukan lebih banyak pembangunan infra terutama keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan membaiki sekolah-sekolah daif. Apalah ertinya status wilayah tanpa peningkatan peruntukan dalam pembangunan infrastrukur.
Mempertingkat Kemudahan
Begitu juga isu lain seperti jaringan internet dan akses pendidikan, perlu diperluaskan dan dipermudahkan kerana kini ia merupakan perkara asas keperluan manusia dewasa kini. Ini penting bagi keperluan memajukan aspek pelancongan setempat.
Misalnya perlu melihat aspek kepentingan perluasan sector e-dagang di luar bandar diperkasakan secara lebih menyeluruh. Hal ini kerana potensi sangat besar kerana hasil pendapatan e-dagang meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM288.2 bilion pada suku kedua 2022 berbanding RM267.2bilion pada tempoh sama didorong terutama oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Dengan kata lain, ia perlu melihat potensi sumber bekalan kawasan di luar bandar tidak ketinggalan dan perlu dipastikan input ekonomi digital luar bandar dapat diperkasakan memandangkan saiz pasaran e-dagang dijangka lebih besar pendapatan iaitu sebanyak RM1.65 trilion menjelang 2025. Maka, jika kerajaan memasukkan inisiatif yang boleh memperkasakan pendigitalan di luar bandar maka a akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat di luar bandar.
Penjualan tudung keringkam dari Gedong penjualan ikan tahai di Lawas boleh diperluas secara lebih baik lagi secara e-dagang dan pasarannya melangkaui sempadan negara. Di tambah pula dengan inisiatif kerajaan dalam membantu Perusahaan kecial dan Sederhana (PKS) bukan sahaja dari segi bantuan yang bersifat konvensional akan tetapi melihat aspek keperluan mikro dan makro keperluan semasa.
Tanpa jaringan internet yang lebih luas dan mantap ekonomi digital hanyalah sekadar retorik politik. Maka, belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini diharap akan terus menyediakan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek pembangunan khususnya infrastruktur dan pendidikan di kawasan pedalaman kedua-dua negeri itu yang merupakan komponen atau mekanisme untuk memberikan impak setemat dan memajukan rakyat.
Peruntukan
Di bawah Belanjawan 2022, sebanyak RM5.16 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan RM4.67 bilion untuk Sarawak bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan ia merupakan peningkatan sebanyak RM104 juta bagi Sabah dan RM158 juta bagi Sarawak berbanding tahun 2021. Sudah pasti peningkatan yang lebih besar pada belanjawan 2023 amatlah dinanti-nantikkan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Lebih banyak peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan keusahawanan dapat diberikan tempat di kawasan dikenali pasti yang mempunyai peratusan tinggi kemiskinan tegar. Gaji yang munasabah juga perlu diambilkira sesuai dengang bidang kerja bagi memastikan aspek keselamatan sosial pekerja dipelihara dan dilindungi agar kelompok ini berasa selamat dan bebas daripada belenggu kemikinan.
Berdasarkan situasi ini, rakyat Sarawak berharap belanjawan 2023 memberikan manfaat yang lebih besar sesuai dengan status wilayah yang diperoleh. Peningkatan belanjawan menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan dan kerjasama erat di antara kerajaan negeri Sarawak dan Putrajaya.
Hakikatnya peningkatan belanjawan 2023 kepada Sarawak dan Sabah akan dapat merapatkan jurang pendapatan, infrastruktur, menangani isu kemiskinan dan meningkatkan lagi mutu pendidikan di seberang Laut China Selatan. Semoga harapan rakyat negeri Sarawak dan Sabah tidak dipersia-siakan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)