KINI Belanjawan Sarawak tidak lagi berdepan desifit kerana hasil negeri melebihi daripada perbelanjaan.
Untuk tahun depan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin lalu membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM15.8 bilion, pertambahan 16 peratus daripada RM13.6 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri pada 2024.
Dengan unjuran hasil RM14.2 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa RM13.7 bilion, belanjawan negeri 2025 dijangka menjana lebihan sebanyak RM486 juta. Tiada defisit.
Dalam tempoh tujuh tahun lalu, jika tidak silap, cuma dua kali belanjawan Sarawak berdepan defisit termasuk pada Belanjawan 2018, kali pertama dibentangkan Abang Johari selaku Ketua Menteri, pada November 2017 iaitu 10 bulan selepas Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) meninggal dunia.
Abang Johari mengambil alih kepemimpinan negeri mulai 13 Januari 2017 hingga sekarang. Tok Nan meninggal dunia pada 11 Januari 2017.
Belanjawan 2018 mencatatkan defisit sebanyak RM256 juta kerana hasil jangkaan negeri diramalkan sekitar RM5.525 bilion, manakala perbelanjaan dianggarkan pada sekitar RM5.781 bilion.
Hasil negeri ketika itu berada pada trend penurunan sejak 2015 disebabkan kejatuhan harga minyak dan gas serta pengurangan pendapatan daripada perhutanan dan pendapatan dividen, manakala perbelanjaan menunjukkan trend peningkatan.
Pada bajet pertama itu jugalah, Abang Johari memperkenalkan dasar baharu di mana setiap bayi dilahirkan di negeri ini diberi one-off insentif berjumlah RM1,000 tanpa mengira etnik, agama dan status sosial.
Insentif ini hanya dibenar dikeluarkan pada usia 18 tahun dan ia untuk digunakan bagi melanjutkan pengajian atau modal untuk mengejar karier masing-masing.
Malah, pada masa itu diumumkan pembinaan empat jambatan membabitkan Jambatan Muara Lassa di Daro, Jambatan Batang Rambungan, Lundu; Jambatan Bintulu/ Jepak, Bintulu dan Jambatan Batang Lupar, Betong.
Kini semuanya hampir siap.
Belanjawan 2022 pula mengalami defisit RM610 juta kerana ketika itu bagi memberi ruang kepada komuniti perniagaan untuk kembali pulih ketika negeri ini pada masa itu, masih menghadapi pandemik Covid-19, seperti juga negeri lain, hatta seluruh dunia terjejas oleh pandemik ini.
Abang Johari mengumumkan belanjawan berjumlah RM10.136 bilion bagi 2022 berikutan kerajaan negeri memberi tumpuan membantu rakyat dalam situasi kesan daripada pandemik Covid-19.
Namun, dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak Isnin lalu menyaksikan peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan mencatat rekod tertinggi iaitu RM15.8 bilion, berbanding RM13.6 bilion pada tahun sebelumnya.
AGIH PENDAPATAN SECARA ADIL
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.9 bilion diperuntukkan untuk pembangunan, yang menekankan tumpuan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan mampan dan pengagihan pendapatan yang adil di seluruh negeri, demi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan.
Pembiayaan besar ini turut melengkapi Belanjawan Persekutuan baru-baru ini yang memperuntukkan RM5.9 bilion untuk Sarawak.
Ini bermakna, banyak lagi projek bakal dilaksanakan terutama di luar bandar dan pedalaman ketika perkhidmatan feri yang menghubungkan jalan pesisir di Sarawak, dijangka berakhir pada 2025 atau paling lewat awal 2026 apabila semua projek jambatan di kawasan pesisir siap kelak.
Sejumlah RM5 bilion telah diperuntukkan bagi membina tujuh jambatan di jalan pesisir berkenaan termasuk Jambatan Batang Lassa di Daro yang boleh digunakan menjelang akhir Januari depan.
Jambatan Bintulu-Jepak pula dibuka untuk kegunaan orang ramai Februari 2025.
Semuanya menggunakan duit kerajaan Sarawak hasil usaha Abang Johari yang terus mencari jalan menjana pendapatan Sarawak.
Segala-galanya bermula pada Januari 2019, apabila kerajaan Sarawak memperkenalkan cukai produk petroleum.
Cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum itu berkuat kuasa 1 Januari 2019 yang ketika itu dijangka menjana pulangan RM3.9 bilion.
Berdasarkan Jadual 10 Perkara V(7) Perlembagaan Persekutuan, negeri dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri.
Justeru, Sarawak mula mengenakan cukai jualan ke atas minyak mentah, gas asli, cecair gas asli, baja berasaskan kimia dan produk gas kepada cecair, sekali gus menjadi aliran pendapatan baharu kepada Sarawak sebagai alternatif membiayai dana bagi menyokong program pembangunan di negeri ini.
Bergerak ke depan, pada 2025 seperti kata Abang Johari, Sarawak menjangkakan pungutan hasil sebanyak RM14.2 bilion dengan hasil cukai dan bukan cukai masing-masing berjumlah RM6.2 bilion dan RM7 bilion.
Pada 2022, Sarawak mengutip hasil cukai itu sebanyak RM8 bilion dan dijangka akan terus meningkat.
Kini, hasil Sarawak dijangka terus bertambah dan kali ini menerusi sektor gas berikutan langkah menjadikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai aggregator gas tunggal di negeri ini di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, yang selama ini dikuasai oleh Petronas.
Baru-baru ini RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya menjangkakan Petronas akan kehilangan sebahagian daripada hasil kerana tidak menjadi aggregator gas tunggal di Sarawak.
Turut dijangka menambah hasil Sarawak nanti ialah industri karbon selain kutipan cukai di udara (spektrum) ke atas syarikat telekomunikasi.
Bila mengalir sahaja gas dan karbon dalam paip, akan dikenakan cukai, begitu juga minyak dan gas di luar pesisir Bumi Kenyalang, dalam jangkauan sejauh 200 batu nautika, bukan 12 batu nautika.
TRAJEKTORI EKONOMI
Ekonomi Sarawak pula dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya pada 2025, dengan unjuran pertumbuhan lima hingga enam peratus berikutan permintaan luar yang kukuh, peningkatan aktiviti dalam negeri dan tekanan inflasi yang berkurangan.
Ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk memupuk kepelbagaian ekonomi dan kebolehsuaian dalam menghadapi dinamik ekonomi global.
Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus untuk menjadi pemacu pertumbuhan utama dan ini disumbang terutamanya daripada sektor pelancongan yang mencatatkan kenaikan 21.4 peratus dalam perniagaan dan ketibaan pelancong dari Januari hingga September 2024. Pengembangan aktiviti perdagangan, khususnya dalam pengangkutan, logistik, perkhidmatan kewangan, dan insurans, juga memperlihatkan usaha Sarawak untuk mengukuhkan asas ekonominya.
Pengeluaran gas asli cecair (LNG) diunjur meningkat, didorong oleh permintaan daripada rakan dagangan utama seperti Jepun dan China, mendorong sektor pembuatan mencatatkan kadar pertumbuhan 5.2 peratus.
Pelaburan awam diunjur berkembang sebanyak enam peratus, disokong oleh RM9 bilion dalam peruntukan negeri dan RM5.8 bilion dalam pembiayaan persekutuan, memberi tumpuan kepada kesalinghubungan dan penambahbaikan infrastruktur.
Malah semakan gaji kakitangan awam, yang berkuat kuasa Disember ini, dijangka meningkatkan penggunaan awam kerana penggunaan swasta dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, bantuan kewangan dan inflasi yang stabil.
Sementara itu, berikutan hasil yang kian melimpah, apa yang diharapkan oleh rakyat Sarawak ialah supaya kemudahan asas di luar bandar dan pedalaman terus dipertingkatkan.
Dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo dan banyak jambatan utama dengan tiada lagi menunggu feri, maka tumpuan pula harus diberi untuk kemudahan jalan raya yang lebih selesa masuk ke kampung dan rumah panjang.
Misalnya jalan raya dari Miri ke Marudi perlu dilebarkan setelah siapnya jambatan Marudi.
Seperti kata Abang Johari, Belanjawan 2025 akan terus menjadi belanjawan pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Belanjawan ini memperbaharui dan mengesahkan komitmen kami untuk memperjuangkan kebajikan rakyat melalui langkah-langkah yang disasarkan bertujuan meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta meneruskan pelaksanaan program dan projek-projek penting rakyat,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2025.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.