Belanjawan 2027: Sarawak, Sabah perlu peruntukan besar, rapatkan jurang dengan Semenanjung

Facebook
WhatsApp

BELANJAWAN 2027 akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat depan, 9 Oktober 2026.

Seperti biasa setiap negeri selain agensi dan sektoral tertentu, masing-masing mengharapkan peruntukan yang banyak, melebihi peruntukan daripada tahun sebelumnya.

Begitu juga Sarawak yang meneruskan naratif perjuangan berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mengharapkan perkara yang dipersetujui khususnya berkaitan suntikan dana dapat dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027 itu nanti, seperti kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Gaji minimum

Namun, antara yang turut ditunggu-tunggu oleh orang ramai ialah pengumuman kadar baharu gaji minimum, dengan jangkaan mencecah RM2,000 berbanding RM1,700 sekarang.

Media sebelum ini melaporkan Anwar memaklumkan kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan, dengan perinciannya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober nanti.

Menurut Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sebelum ini, Belanjawan 2027 itu akan terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI.

Antaranya ialah Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.

Antara 10 tumpuan berkenaan ialah:

  1. Keadilan sosial dan pembangunan untuk semua. Mengurangkan jurang pembangunan termasuk di Sabah, Sarawak, desa dan pedalaman, selain memperkasa PMKS, koperasi, belia, wanita dan komuniti rentan.
  2. Melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup. Penambahbaikan subsidi dan bantuan sosial akan diteruskan, dengan beban isi rumah meliputi makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak turut dinilai.
  3. Memperkukuh perlindungan sosial. Kerajaan akan menilai perlindungan KWSP, Perkeso dan skim berkaitan, termasuk bagi pekerja gig, tidak formal serta persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2030.
  4. Pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas. Tumpuan termasuk TVET, STEM, digital dan AI, selain usaha mengurangkan kesesakan fasiliti kesihatan serta meningkatkan akses perkhidmatan asas.
  5. Perbelanjaan beri nilai terbaik kepada rakyat. Setiap perbelanjaan kerajaan akan lebih berorientasikan hasil, termasuk mengurangkan ketirisan dan memastikan program benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
  6. Tatakelola dan penyampaian kerajaan. Kerajaan mahu memperluas GovTech, identiti digital dan penyepaduan data serta mengurangkan kerenah birokrasi.
  7. Kebajikan pekerja dan gaji bermaruah. TVET, latihan semula, kemahiran AI serta usaha meningkatkan produktiviti dan penyertaan wanita dalam tenaga buruh akan diberi perhatian.
  8. Usahawan tempatan dan ‘Made by Malaysia’. Syarikat tempatan akan diperkasa untuk berkembang dan bersaing di pasaran ASEAN serta global.
  9. Pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi. Tumpuan diberikan kepada sektor semikonduktor, AI, digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa.
  10. Keterjaminan tenaga, makanan, iklim dan siber. Kerajaan mahu memperkukuh tenaga bersih, agromakanan, kesiapsiagaan bencana serta perlindungan daripada ancaman siber.

Diharapkan fakta nombor satu terus diberi perhatian khusus.

Peruntukan adil dan saksama diperlukan

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak wajar ditambah atau sekurang-kurangnya dikekalkan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan pembangunan kedua-dua wilayah ini terus diberi perhatian.

Nescaya itulah harapan rakyat Borneo iaitu peruntukan yang adil dan saksama diperlukan memandangkan masih banyak infrastruktur asas serta kemudahan awam di kedua-dua negeri ini perlu dinaik taraf.

Memang Sarawak dan Sabah mendapat dana pembangunan yang tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini kerana masih banyak sekolah daif dan kemudahan awam yang memerlukan penambahbaikan.

Dalam Belanjawan 2026, Sabah menerima peruntukan pembangunan RM6.9 bilion, manakala Sarawak RM6 bilion, menjadikan kedua-duanya antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi.

Di Sarawak, bayangkan kira-kira 600 sekolah daif di Sarawak telah disiapkan setakat ini, namun pelaksanaan keseluruhan projek sekolah daif di negeri ini masih di bawah 50 peratus.

Ini didedahkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang menyatakan, kira-kira 1,200 sekolah dikenal pasti sebagai sekolah daif dan dikategorikan mengikut skala satu hingga tujuh, dengan kategori tujuh merupakan tahap paling kritikal.

“Sebahagian sekolah yang dikenal pasti masih dalam proses pembinaan, manakala terdapat juga projek yang masih belum ditender semula, sekali gus mempengaruhi kadar pelaksanaan keseluruhan.

“Belum lagi sampai 50 peratus. Ada yang masih dalam pembinaan sekarang dan ada juga yang masih belum ditender semula,” katanya selepas menghadiri majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di  Kuching Isnin lalu.

Berbanding negeri lain, keperluan asas bagi Sarawak dan Sabah masih belum memuaskan seperti keperluan menaik taraf sekolah, kemudahan kesihatan serta sistem bekalan air.

Rakyat Sarawak bernasib baik dan bersyukur kerana hasil pendapatan negeri jauh lebih tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga membolehkan projek infrastruktur seperti jambatan yang sepatutnya dibiayai Kerajaan Persekutuan, menggunakan dana Sarawak sendiri.

Tujuannya bagi mempercepat pelaksanaan beberapa projek seperti jambatan selain infrastruktur kritikal, termasuk pembinaan loji rawatan air dan kerja menaik taraf sistem bekalan air.

Ini kerana keperluan mendesak rakyat tidak boleh menunggu tanpa tempoh yang pasti untuk mendapatkan pembiayaan Persekutuan. Jika menunggu kelulusan dana dari Putrajaya, entah apa jadi dengan projek Jambatan Batang Lupar 1 serta beberapa jambatan lain, yang kini sudah siap dengan menggunakan dana kerajaan Sarawak.

Pusat Kanser Sarawak juga merupakan contoh penglibatan Sarawak dalam menyediakan sokongan pembiayaan bagi projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Diharapkan perkhabaran gembira untuk Sarawak dan Sabah Jumaat depan. Sememangnya, kedua-dua negeri ini memerlukan peruntukan besar bagi merapatkan jurang pembangunan yang dinikmati negeri-negeri di Semenanjung.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak