KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Pembelajaran berasaskan tempat kerja perlu menjadi antara tumpuan Belanjawan 2027 bagi membantu negara menyediakan 1,188,479 kemasukan baharu ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara 2027 hingga 2031.
Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) Dr Azmir Mohd Yunus berkata pendekatan itu membolehkan akses latihan diperluas tanpa terlalu bergantung pada kapasiti fizikal institusi TVET, yang ketika ini hanya mampu menempatkan hampir 450,000 pelajar pada satu-satu masa.
“Jika kita mahu mengambil lebih ramai pelajar, mereka tidak boleh menghabiskan tempoh yang terlalu panjang hanya di institusi. Mereka boleh berada lebih lama di industri dan tempat yang dikosongkan di institusi itu pula digunakan oleh kumpulan pelajar seterusnya,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Berdasarkan unjuran MTVET, angka 1.19 juta itu mengambil kira sasaran 60 peratus daripada keseluruhan 1,980,799 murid tingkatan satu hingga tingkatan lima yang dijangka menjadi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 2026 hingga 2030.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran meningkatkan pengambilan lepasan SPM atau setara ke TVET daripada 56.86 peratus pada 2025 kepada 60 peratus menjelang 2030, manakala sasaran itu dinaikkan kepada 70 peratus pada mesyuarat MTVET yang berlangsung pada 5 Mac lepas.
Azmir berkata model seperti pembelajaran berasaskan kerja (WBL), program perantisan serta Akademi Dalam Industri (ADI) membolehkan latihan teori dan amali disusun antara institusi dengan tempat kerja, selain meningkatkan pusingan penggunaan kemudahan latihan.
Beliau berkata sebarang peruntukan tambahan menerusi Belanjawan 2027 wajar disasarkan kepada program yang dapat meningkatkan pendapatan graduan, memperluas penguasaan teknologi baharu serta membangunkan bakat bagi sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, elektronik dan digital.
“Paling penting, Transformasi TVET 2.0 pula memerlukan empat anjakan utama, iaitu daripada latihan berasaskan institusi kepada pembelajaran di tempat kerja daripada latihan prapekerjaan kepada peningkatan kemahiran pekerja sedia ada daripada tumpuan pada tahap sijil kepada kelayakan lebih tinggi serta daripada penglibatan industri secara konsultatif kepada perkongsian pelaburan,” katanya.
Data Jabatan Pembangunan Kemahiran menunjukkan bahawa 423,936 Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dianugerahkan antara 2020 hingga 2025, dengan 82.6 peratus daripadanya merupakan pensijilan Tahap Dua dan Tahap Tiga.
Sementara itu, menurut Kadar Bekerja Graduan TVET 2025 terbitan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan kadar bekerja graduan yang terangkum dalam kajian itu mencapai 95.9 peratus, termasuk 99.1 peratus bagi diploma lanjutan, 95.9 peratus untuk diploma, manakala sijil sebanyak 95.4 peratus.
Pecahan pendapatan turut menunjukkan 26.3 peratus graduan diploma lanjutan memperoleh antara RM3,001 hingga RM4,000 sebulan, manakala 8.5 peratus menerima antara RM4,001 hingga RM5,000 dan 6.6 peratus antara RM5,001 hingga RM10,000.
“Data itu menunjukkan terdapat permintaan terhadap kelayakan berkenaan dan industri sanggup membayar bagi mendapatkan set kemahiran pada tahap lebih tinggi,” kata Azmir.
Industri, katanya, perlu beralih daripada sekadar mencadangkan kandungan kurikulum atau menerima graduan kepada peranan lebih aktif dalam merancang latihan, menyediakan tempat pembelajaran dan membiayai pembangunan bakat.
“Industri tidak boleh lagi setakat memberikan cadangan sebagai penerima. Mereka perlu terlibat kerana mereka juga yang akan memperoleh manfaat daripada tenaga mahir yang dibangunkan.
“TVET 2.0 bukan sekadar mengenai pengenalan program baharu atau penambahan peruntukan kerajaan, sebaliknya perlu tertumpu pada perubahan terhadap cara bakat dikenal pasti, dilatih, dipertingkatkan kemahiran dan diserap ke pasaran pekerjaan, sejajar dengan keperluan membina tenaga kerja berkemahiran lebih tinggi serta menjamin masa depan kerjaya lebih baik,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Jumaat ini. – Bernama




