BUKIT MERTAJAM: Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan bagi pemberian elaun kepada pelajar tingkatan enam dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira terdapat pelajar di peringkat berkenaan ketika ini tidak menerima sebarang elaun berbanding bantuan yang disediakan untuk pelajar sekolah rendah hingga tingkatan lima serta peringkat universiti.
“Baru-baru ini dalam dialog saya dengan anak-anak prauniversiti, saya kata dari darjah satu sampai tingkatan lima ada elaun, universiti ada elaun. Tingkatan enam, prauniversiti tidak ada.
“Jadi saya umumkan, dalam Belanjawan kita bulan Oktober, saya akan sediakan peruntukan dan elaun untuk pelajar-pelajar tingkatan enam,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar bersempena dengan Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Anwar bagaimanapun berkata jumlah peruntukan berkenaan belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan semasa.
Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata cadangan pemberian elaun itu merupakan antara 12 resolusi dibangkitkan pada Kongres Prauniversiti MADANI yang berlangsung di Klang, Selangor pagi tadi.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kesemua resolusi yang dikemukakan perwakilan pelajar dan akan menelitinya untuk penambahbaikan, selain mencari jalan bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Anwar berkata bidang pendidikan menerima peruntukan terbesar kerana kerajaan sedang melabur untuk masa depan negara dan melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi berakhlak, berdisiplin dan mampu berfikir secara kritis.
Justeru, beliau berkata kecemerlangan akademik mesti berjalan seiring dengan nilai, etika dan rasa hormat kepada orang lain.
“Ilmu yang tidak disertai nilai tidak cukup untuk membina sebuah negara maju dan bertamadun.
“Pendidikan juga mesti menjadi jalan untuk membuka peluang dan mengubah kehidupan. Setiap anak, tanpa mengira latar belakang keluarga, harus diberi ruang untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi terbaik mereka,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata menerusi pendidikan, Malaysia dapat membina generasi yang berani meneroka bidang masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi dan semikonduktor, di samping terus menyumbang dalam pendidikan, perkhidmatan awam dan pelbagai lapangan yang membentuk masa depan negara.
Dalam Belanjawan 2026, KPM menerima peruntukan sebanyak RM66.2 bilion, meningkat daripada RM64.2 bilion tahun lepas. – Bernama




