Belanjawan 2027 fokus perkukuh daya tahan ekonomi negara, lindung rakyat – Amir Hamzah

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Amir Hamzah Azizan hadir pada majlis Libat Urus Belanjawan 2027, ‘Malaysia MADANI:Mengapai Di Langit, Mengadap Di Bumi’ bersama wakil-wakil kerajaan dan agensi bukan kerajaan di kementerian kewangan hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara, melindungi kesejahteraan rakyat dan melaksanakan langkah-langkah meningkatkan kemampanan fiskal, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata Belanjawan 2027 akan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global dan harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap penyampaian kerajaan.

“Kerajaan akan meneruskan komitmen memperkukuh daya saing ekonomi negara dengan menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti serta mempercepat pembangunan sektor-sektor strategik yang mampu menjana nilai tambah, pekerjaan berpendapatan tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Tumpuan akan terus diberikan kepada sektor seperti semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) serta kewangan Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan memperkasakan perusahan mikro, kecil dan sederhana, dan syarikat pemula sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, pendigitalan, inovasi serta pengembangan pasaran agar lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan mampu menembusi rantaian nilai global sebagai ‘Made by Malaysia’ atau jenama Malaysia.

Menurutnya kerajaan akan menggalakkan budaya inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh penciptaan nilai.

Sementara itu, dalam usaha menaikkan lantai, tumpuan kerajaan kekal untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat selari dengan agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk memperkukuh sistem pendidikan, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan memperkasakan pembangunan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Kerajaan menghargai peranan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan rakan strategik dalam memastikan bantuan serta intervensi sosial dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh, khususnya kepada golongan rentan.

“Kerjasama ini penting bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga sentiasa memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta menangani cabaran kos sara hidup melalui pendekatan yang bersasar dan mampan.

Amir Hamzah berkata matlamat utama Belanjawan 2027 adalah untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.

Pada masa sama, bagi memastikan tatakelola yang baik, kerajaan juga berusaha memperkukuh ekosistem perniagaan melalui menambah baik peraturan, memudah cara pelaburan, pendigitalan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kerenah birokrasi untuk terus meningkatkan lagi daya saing negara.

Bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.

Turut hadir pada sesi libat urus hari ini ialah Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan, pegawai kanan kerajaan, wakil industri, persatuan, NGO serta tokoh ekonomi dan ilmuan. – Bernama