
KOTA BHARU: Lebih enam cadangan berimpak besar telah dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Zahrul Hakim berkata antara cadangan itu, peruntukan tambahan bagi meningkatkan fasiliti di wad Kelas 3 dan elaun tambahan kepada petugas kesihatan di kawasan pedalaman, termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat.
“Untuk belanjawan 2026, KKM telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama pihak berkepentingan dan berjumpa Kementerian Kewangan (MOF) untuk memohon peruntukan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-27 dan Mesyuarat Exco kali Ke-132 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Zahrul berkata cadangan peruntukan tambahan bagi meningkatkan keselesaan pesakit wad di Kelas 3 itu, selaras dengan aspirasi MADANI untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan selesa kepada rakyat.
“Selain itu, cadangan tambahan elaun untuk petugas kesihatan di kawasan pedalaman juga diharap dapat dipertimbangkan oleh MOF, walaupun implikasi peruntukan berkenaan adalah besar.
“Kita harap dapat diberi pertimbangan untuk kenaikan elaun bagi mengalakkan petugas KKM yang berada di kawasan pedalaman. Kami harap ada berita gembira untuk KKM,” katanya.
Terdahulu, pada program itu Zahrul berkata cabaran dunia kesihatan semakin kompleks, memerlukan pemimpin yang bukan sahaja cekap daripada aspek klinikal tetapi juga bijak dari sudut teknologi kesihatan digital, pengurusan data, serta komunikasi efektif dengan masyarakat.
“Justeru, saya menyeru Penolong Pegawai Perubatan muda berani melengkapkan diri dengan ilmu tambahan, sama ada dalam bidang informatik kesihatan, perubatan kecemasan atau kesihatan awam agar mampu mendepani cabaran dan melakar masa depan kepimpinan kesatuan serta profesion,” katanya.- Bernama