BELANJAWAN 2025 yang diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan komitmen serius dalam memperkukuh pembangunan Sabah dan Sarawak.
Langkah-langkah yang diperkenalkan adalah bukti konkrit bahawa Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia bukan sekadar janji kosong atau retorik politik, kerana peruntukan besar yang diberikan menunjukkan keikhlasan serta kesungguhan dalam melaksanakan agenda pembangunan yang menyeluruh di kedua-dua wilayah ini.
Pembentangan Belanjawan 2025 kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar dana bagi pelbagai projek penting di Sabah dan Sarawak.
Peruntukan pembangunan sebanyak RM6.7 bilion kepada Sabah dan RM5.9 bilion untuk Sarawak menunjukkan betapa besarnya perhatian yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan kepada kedua-dua negeri ini.
Angka-angka ini yang merupakan peruntukan tertinggi di antara negeri-negeri lain, jelas mencerminkan keutamaan dan kepentingan yang diberikan kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak.
MENGHORMATI MA63
Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menghormati dan menunaikan MA63, langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan ini adalah usaha konkrit untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.
Sejak sekian lama, terdapat rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak tentang tahap pembangunan yang dirasakan tidak setara dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Melalui belanjawan ini, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim cuba mengubah konvensyen lama dengan membuat pengumuman besar untuk pembangunan Sabah dan Sarawak.
PEMBERIAN KHAS
Pemberian Khas Sarawak yang tidak pernah dikaji sejak 1969 akhirnya dinaikkan kepada RM300 juta daripada hanya RM16 juta sebelum ini.
Sementara itu, Pemberian Khas untuk Sabah juga dinaikkan kepada RM125.6 juta.
Komitmen ini tidak berhenti di sini, kerana mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta.
Keputusan ini adalah satu tindakan yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam memastikan Sabah dan Sarawak tidak lagi ketinggalan dalam pemberian agihan yang lebih adil dan munasabah.
Langkah ini juga mencerminkan rasa hormat dan prihatin Kerajaan MADANI terhadap Sabah dan Sarawak.
Keputusan ini selari dengan prinsip keadilan sosial dan perpaduan yang menjadi asas konsep MADANI yang diperjuangkan oleh kerajaan.
Kerajaan memahami bahawa hanya melalui pembangunan yang inklusif dan adil, barulah perpaduan nasional yang sebenar dapat dicapai.
PROJEK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR
Salah satu fokus utama dalam belanjawan ini adalah pembangunan infrastruktur asas yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang melibatkan Sabah dan Sarawak adalah antara projek paling besar yang sedang dilaksanakan.
Sebanyak 17 pakej kerja bagi Fasa 1B Pan Borneo Sabah telah dikeluarkan dengan nilai kontrak RM9.7 bilion, meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat, Tawau ke Kampung Lot M, dan Telupid ke Ranau.
Di Sarawak pula, projek ini dijangka siap pada November 2024 dengan kos keseluruhan projek Pan Borneo di kedua-dua negeri ini mencecah RM25.1 bilion.
Projek ini bukan sahaja akan memperbaiki jaringan jalan raya, malah juga dijangka memberi impak ekonomi yang besar dengan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti masyarakat setempat.
Selain itu, Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion telah dimuktamadkan, dengan dua pakej kerja sudah dianugerahkan.
Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan Sabah dan Sarawak tidak lagi terkebelakang dari segi kemudahan asas seperti jalan raya.
Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak, menunjukkan bahawa pendidikan juga menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan di wilayah ini.
HUBUNGAN ERAT KERAJAAN PERSEKUTUAN-NEGERI
Hubungan erat dan kerjasama baik antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan adalah salah satu faktor utama yang menjamin kejayaan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan ini.
Sarawak, sebagai salah satu negeri yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan, telah menunjukkan kebijaksanaan dalam keputusan mereka untuk bersama-sama membentuk kerajaan yang stabil di peringkat pusat.
Kebertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang prihatin dan stabil, sesuai dengan konsep MADANI.
Keputusan Sarawak bersama Kerajaan Perpaduan adalah satu langkah yang tepat dan dan ini membolehkan limpahan pembangunan yang signifikan dapat direalisasikan.
Dalam belanjawan 2025 ini, komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Miri dengan kos RM253 juta adalah contoh jelas betapa prihatin terhadap keperluan kemudahan dan pemodenan lapangan terbang.
Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam membangunkan Pusat Kanser Sarawak dengan anggaran kos RM1 bilion menunjukkan betapa seriusnya komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Sarawak.
MEMPERKUKUHKAN EKONOMI, KESEJAHTERAAN RAKYAT
Kerajaan MADANI juga prihatin terhadap kesejahteraan ekonomi rakyat Sabah dan Sarawak.
Aspek ini dilihat dengan peruntukan RM65 juta disediakan untuk membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta memperluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan sektor pertanian dan memastikan kelestarian bekalan makanan di kedua-dua negeri ini.
Bagi sektor kelapa sawit, kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang levi keuntungan luar biasa bagi buah kelapa sawit kepada RM3,650 untuk Sabah dan Sarawak.
Struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah juga akan disemak semula mulai November 2024.
Tindakan ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh pemain industri kelapa sawit di Sabah dan Sarawak dan berusaha untuk memastikan sektor ini terus berkembang dengan sihat.
Dalam aspek kesejahteraan sosial, kerajaan juga memberi perhatian kepada golongan nelayan dengan menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada RM90,000 bagi Sabah dan Sarawak, berbanding RM68,000 sebelum ini.
Bantuan ini menunjukkan bahawa kerajaan amat memahami kesusahan golongan berpendapatan rendah di Sabah dan Sarawak serta berusaha untuk memberi bantuan yang lebih signifikan.
PERKHIDMATAN AWAM LEBIH INKLUSIF
Bukti kesediaan memberikan perkhidmatan lebih menyeluruh termasuk di luar bandar dapat dilihat apabila perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah Sarawak diperluaskan ke Kampung Pangaraan, Sabah, dan Pulau Bruit, Sarawak.
Selain itu, Klinik Bergerak dan Klinik Gigi Bergerak juga ditambah bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti.
Dalam usaha untuk memudahkan penyaluran bantuan kerajaan, perkhidmatan Bank BSN Bergerak ditambah menjadi 12 buah, terutamanya untuk Sabah dan Sarawak.
Langkah ini diambil oleh kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang terlepas daripada menikmati kemudahan, terutamanya di kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Berdasarkan Belanjawan 2025 untuk Sabah dan Sarawak ternyata Kerajaan MADANI pimpinan Anwar menunaikan tanggungjawabnya secara berterusan dan sangat menghargai hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan wilayah.
Komitmen yang ditunjukkan dalam belanjawan ini, baik dari segi peruntukan pembangunan, infrastruktur, mahupun kesejahteraan sosial, adalah langkah konkrit yang menunjukkan kerajaan serius untuk memastikan keperluan Sabah dan Sarawak sentiasa diberikan perhatian.
Apabila Sabah dan Sarawak maju, maka negara kita akan bertambah makmur.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).