

BINTULU: Jualan belangkas sepasang pada harga RM10 oleh peniaga tempatan, Amanda Abdul Rahman mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak musim tangkapan meningkat, terutama selepas sambutan Gawai Dayak, di sini.
Amanda berkata beliau menetapkan harga mampu milik kerana bekalan belangkas ketika ini mencukupi dan beliau juga tidak menanggung kos sewaan tapak kerana perniagaan dijalankan di hadapan rumahnya, di sini.
Menurutnya, keadaan itu membolehkan beliau menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran, sekali gus menarik lebih ramai pelanggan di kawasan Bintulu.
“Sekarang memang banyak tangkapan, lebih-lebih lagi selepas Gawai Dayak. Saya jual murah kerana tidak perlu sewa tapak. Alhamdulillah, sambutan memang baik,” katanya.
Beliau berkata dalam tempoh seminggu, bekalan belangkas sering habis dalam masa singkat dan ramai pelanggan membuat tempahan awal, terutama pelanggan yang ingin mendapatkan belangkas betina yang bertelur.
“Saya memahami permintaan pelanggan dan membenarkan pertukaran sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan belangkas yang mereka dapat,” katanya.
Selain belangkas, beliau turut menjual makanan laut yang segar seperti ikan pada harga RM10 dan udang pada harga RM20 sekilogram.
Amanda berkata jualan dilakukan setiap hujung minggu di kawasan berhampiran Pasar Tamu Sungai Plan, Bintulu. Sebarang tempahan awal boleh dibuat dengan menghubunginya melalui talian 014-876 7999.
Oleh Faizah Muzidi